KOTA BHARU – Projek Terminal Stesen Bas Bersepadu Kota Bharu (KB Sentral) yang dijangka siap pada 2025 di Tunjong di sini dilihat mampu untuk membantu mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di Lembah Sireh.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, beliau mengakui bahawa Terminal Bas Kota Bharu di Lembah Sireh yang merupakan stesen bas sementara itu menjadi salah satu punca kepada berlakunya kesesakan lalu lintas di kawasan berkenaan.
Menurutnya, berdasarkan perancangan awal, KB Sentral akan dibina di Lembah Sireh, namun cadangan itu dibatalkan selepas kerajaan negeri melihat perkembangan di situ dan pandangan daripada pelbagai pihak.
“Pembinaan KB Sentral di Tunjong merupakan satu usaha dan perancangan kerajaan negeri bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di Lembah Sireh.
“Bagaimanapun, secara umumnya kesesakan lalu lintas di kawasan itu masih terkawal. Kesesakan hanya berlaku pada masa-masa tertentu terutamanya ketika musim perayaan dan cuti sekolah,” katanya.
Mohd. Amar berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Dr. Ramli Mamat (Pas-Bunut Payong) mengenai perkembangan pelan pembangunan di Lembah Sireh yang dirangka pada fasa awal perancangan dan perancangan kerajaan bagi mengurangkan kesesakan di kawasan itu pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Amar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Panchor berkata, tumpuan pembangunan di Lembah Sireh pada awalnya adalah pembangunan komersial, namun bertukar kepada pembangunan bercampur dengan ekoran pembinaan kawasan perumahan dan institusi pendidikan. -KOSMO! ONLINE
The post KB Sentral mampu atasi kesesakan di Lembah Sireh appeared first on Kosmo Digital.