SEPANG – Seorang lelaki tempatan ditahan bersama 50 kilogram (kg) dadah jenis syabu dan 6 kilogram (kg) pil ekstasi bernilai hampir RM2.6 juta dalam serbuan di Sabak Bernam pada 8 Ogos lalu.
Dalam serbuan itu, suspek berusia 40 tahun itu telah berkahwin, tidak bekerja dan mempunyai enam rekod jenayah lampau berkaitan jenayah dan dadah.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, tangkapan dan rampasan itu sekali gus berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah jenis syabu dan pil ekstasi di daerah Sabak Bernam.
Beliau berkata, dalam serbuan kira-kira pukul 4.30 pagi itu, polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik daerah Sabak Bernam menemui 50 bungkusan warna biru dan hijau bertulis Chinese Pin Wei berisi syabu dan ekstasi dalam sebuah kereta jenis Perodua Alza.
“Hasil saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine. Siasatan mendapati, dadah dipercayai untuk edaran ke negara jiran.
“Saspek kini ditahan reman selama enam hari mengikut Seksyen 447 Kanun Tatacara Jenayah dari 8 hingga 13 Ogos ini,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Katanya, siasatan mendapati, suspek kemungkinan adalah ‘transporter’ (keldai dadah) dan dibayar RM2,800 sebagai upah bagi setiap penghantaran. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Keldai dadah’ ditahan bawa syabu, pil ekstasi RM2.6 juta appeared first on Kosmo Digital.