MARAN – Tiga beradik maut manakala seorang lagi cedera selepas kereta Perodua Kancil yang mereka naiki terbabas di kilometer 165 Lebuhraya Pantai Timur, dekat sini, hari ini.
Mangsa yang maut itu dikenali sebagai pemandu, Siti Fatimah Yusry, 20 serta dua penumpang, Ahmad Basyir Yusry, 27, dan Saiedah Yusry, 15.
Manakala adik perempuan mereka yang berusia 11 tahun mengalami kecederaan di kepala dan dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) di Temerloh.
Ketua Polis Daerah Maran Deputi Superintendan Norzamri Abd Rahman berkata, berdasarkan siasatan mendapati adik-beradik itu dalam perjalanan dari Johor menuju ke sebuah maahad tahfiz di Jerantut.
“Ketika dalam perjalanan dari arah Kuantan menghala ke Jerantut, kereta dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum berpusing ke kiri jalan dan merempuh besi pembahagi jalan,” katanya.
Katanya lagi, Siti Fatimah, Ahmad Basyir dan Saiedah yang merupakan seorang pelajar tahfiz maut ditempat kejadian dan kesemua jenazah mereka telah di bawa ke unit forensik Hospital Jengka untuk dibedah siasat.
“Mangsa yang cedera pula dibawa ke Hospital Siktah Haji Ahmad Shah (HosHas) dan sedang menerima rawatan di unit kecemasan hospital,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 di mana Norzamri meminta agar sesiapa yang menyaksikan kemalangan itu tampil membantu siasatan.
Sementara itu,. Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang Ismail Abdul Ghani berkata lapan anggota bomba dari Balai Bomba Maran dikerahkan ke tempat kejadian.
Pihak bomba telah menggunakan peralatan menyelamat khas untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduk di dalam kenderaan yang remuk teruk itu.
The post [KEMASKINI] Tiga beradik maut lepas pulang dari pusat tahfiz appeared first on Kosmo Digital.