SHAH ALAM – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan mewujudkan skim khas perniagaan dalam talian (online) dibawah agensinya dalam membantu merancakkan perniagaan golongan tersebut.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, skim khas itu bertepatan kaedah perniagaan itu terus mendapat sambutan di kalangan anak muda dalam menambah pendapatan mereka.
Katanya, berdasarkan rekod juga menunjukkan sebanyak 373,213 entiti mendaftarkan perniagaan mereka di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dalam tempoh 1 Mac hingga 31 Oktober 2020.
“Perniagaan online ini amat luar biasa dan fleksibel sehingga boleh berniaga dari rumah. Malah, ada kakitangan kerajaan membuat (perniagaan online) sehingga mampu mencapai pendapatan lebih daripada gajinya.
“Jadi, KUSKOP telah meminta semua agensinya menyediakan satu skim khas bagi membantu usahawan atas talian. Kita juga berharap dalam bajet akan datang turut mencadangkan kerajaan mewujudkan skim khas yang sama yang diletakkan dibawah kementerian ini,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Terdahulu, beliau merasmikan program pemantapan Penjaja Dan Peniaga Kecil Tahun 2022 di Mardhiyyah Hotel & Suites di sini.
Noh memberitahu, berdasarkan rancangan skim khas itu akan memperuntukkan jumlah pinjaman maksimum mengikut agensi masing-masing dibawah KUSKOP.
Jelas beliau, keutamaan akan diberikan kepada lebih 2,000 yang telah mengikuti kursus tersebut bagi menjadi kumpulan pelanggan pertama menerima skim tersebut di bawah agensinya. – KOSMO! ONLINE
The post KUSKOP wujudkan skim khas perniagaan online appeared first on Kosmo Digital.