KEMAMAN – Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun nyaris maut apabila termakan biskut dipercayai mengandungi racun yang diletakkan pekebun untuk menghalau kera di sebuah kebun di Kampung Air Putih, di sini kelmarin.
Dalam kejadian pada pukul 1.45 tengah hari itu, Mohd. Daynail Haikal Alias dikejarkan ke Hospital Kemaman, di sini apabila tiba-tiba tidak sedarkan diri selepas memakan biskut tersebut.
Bapa mangsa, Alias Saras, 57, mendakwa, sebelum kejadian, anak lelakinya yang merupakan pelajar tingkatan satu sebuah sekolah menengah di daerah ini telah keluar memancing bersama salah seorang rakannya.
“Saya difahamkan dia mengambil plastik mengandungi biskut yang disangkut pada sebatang kayu sewaktu melalui sebuah kebun pisang dan kelapa dalam perjalanan pulang memancing.
“Dia (Mohd. Daynail Haikal) dikatakan tiba-tiba pengsan dan mulutnya berbuih selepas memakan biskut tersebut,” dakwanya.
Alias berkata, rakan mangsa kemudiannya segera meminta bantuan bapanya untuk menghantar anak keempat daripada lima beradik itu ke Klinik Kesihatan Air Putih dan seterusnya ke Hospital Kemaman.
“Anak saya masih dirawat di wad hospital itu dan Alhamdulillah keadaannya kini semakin stabil dan beransur pulih,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Hanyan Ramlan yang dihubungi mengesahkan kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001.
Sebelum ini, dua beradik, Muhammad Akil Syauqi dan Muhammad Luth Syauqi masing-masing berusia tiga dan dua tahun maut selepas termakan jajan yang dipercayai mengandungi racun tikus di Kulim, Kedah. – KOSMO! ONLINE
The post Lagi kes makan biskut campur racun halau kera appeared first on Kosmo Digital.