Lelaki dibaham buaya ditemukan terapung

MIRI: Mayat lelaki yang dibaham buaya ketika memasang pukat ikan di sungai Batu 4, Jalan Kuala Baram di sini, semalam telah dijumpai.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong Henry Jugah berkata,  mayat mangsa berusia 59 tahun itu dijumpai terapung oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira pukul 1.45 petang.

“Mayat mangsa dijumpai dalam keadaan tangan dan kaki sebelah kiri hilang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya mayat mangsa telah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Terdahulu, Henry berkata pihaknya menerima laporan mengenai kehilangan mangsa kira-kira pukul 5.55 petang semalam.

Susulan itu, katanya operasi SAR digerakkan namun gagal menjumpai mangsa. – KOSMO! ONLINE

The post Lelaki dibaham buaya ditemukan terapung appeared first on Kosmo Digital.