Lelaki dicekup cuba seludup 81 kg syabu ke Sabah

SEPANG- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya mematahkan percubaan seorang lelaki yang cuba menyeludup dadah jenis methamphetamine atau syabu seberat 81 kilogram (kg) bernilai RM2.6 juta ke Sabah.

Kejayaan itu dikongsikan Penolong Ketua Pengarah JKDM Zon Tengah, Norlela Ismail pada sidang akhbar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

“Kita mengenal pasti ada seorang lelaki dipercayai warga tempatan mengepos empat bungkusan melalui sebuah agensi kurier di Shah Alam pada 13 Disember lalu.

“Dadah itu berjaya dikesan ketika melalui mesin pengimbas di sebuah operator terminal kargo di Zon Perdagangan Bebas KLIA pada 17 Disember lalu,” katanya.

Katanya, pasukan operasi mengesan objek mencurigakan dan apabila diperiksa pihaknya menemui 40 bungkusan plastik lutsinar yang ada mengandungi serbuk kristal iaitu dadah.

“Siasatan awal ke atas slip penghantaran turut mendapati destinasi terakhir semua kotak berkenaan ialah di Kota Kinabalu, namun barang itu diikrarkan sebagai alat tulis,”ujarnya. – KOSMO! ONLINE

The post Lelaki dicekup cuba seludup 81 kg syabu ke Sabah appeared first on Kosmo Digital.