Lelaki ditangkap selepas 21 jam bunuh pembantu kedai guna pisau

TAIPING – Seorang suspek kes bunuh pembantu kedai berusia 20 tahun di Simpang semalam berjaya ditahan pihak polis di kawasan taman perumahan di Aulong di sini pada pukul 11 pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam semalam kira-kira pukul 2.55 petang mengenai penemuan seorang lelaki dalam keadaan tertiarap dengan
berlumuran darah di kawasan Simpang di sini.

“Siasatan awal oleh pihak polis di tempat kejadian mendapati mangsa seorang lelaki berumur 20 tahun yang bekerja sebagai pembantu kedai telah meninggal dunia di tempat kejadian dipercayai ditikam.

“Susulan daripada maklumat yang diterima, sepasukan pegawai polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping dalam tempoh 24 jam telah digerakkan bagi mengesan suspek,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya berjaya menangkap seorang lelaki berumur 40 tahun dan berjaya merampas sebilah pisau disyaki digunakan dalam kejadian tersebut.

Mohamad Nasir berkata, tangkapan mempunyai empat rekod jenayah lampau, manakala ujian saringan air kencing ke atas tangkapan mendapati suspek positif dadah jenis morfin.

“Berdasarkan siasatan awal yang dibuat mendapati motif kejadian berpunca akibat perasaan cemburu. Tangkapan akan dibawa ke Mahkamah Taiping untuk permohonan reman,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE

The post Lelaki ditangkap selepas 21 jam bunuh pembantu kedai guna pisau appeared first on Kosmo Digital.