KOTA BHARU – Terengganu FC menang bergaya selepas membenam Kelantan United FC (Kelantan United) 4-1 dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini sebentar tadi.
Sang Penyu terlebih dahulu membuka jaringan apabila dihadiahkan sepakan penalti selepas bola terkena tangan pemain pertahanan Kelantan United yang disudahkan dengan sempurna oleh Ivan Namut pada minit ke-29.
Memasuki minit-minit akhir, Terengganu FC semakin bersemangat melancarkan serangan ke kubu tuan rumah, namun tiada jaringan dapat dihasilkan dan kedudukan 1-0 kekal sehingga tamat babak pertama.
Terengganu FC yang belum berpuas hati dengan kelebihan satu gol menggandakan asakan ke kubu tuan rumah sebaik bermula babak kedua untuk mencari gol tambahan.
Kerapuhan benteng Sang Kijang Hijau ketika ghairah melancarkan serangan ke kubu lawan terhukum apabila Terengganu FC melancarkan serangan balas pantas sekali gus membolehkan pemain sayap, Sony Norde merembat masuk gol kedua pada minit ke-72.
Ketika perlawanan memasuki minit ke-84, gawang tuan rumah sekali lagi dirobek Sang Penyu melalui sepakan lencong pemain tengah, Nik Muhammad Sharif Haseefy Mohd. Lazim yang melepasi jangkauan penjaga gol, Mohd. Shahril Sa’ari.
Dua minit berselang, Kelantan United berjaya memperoleh gol pertama apabila pemain penyerang, Ismaheel Akinade memanfaatkan peluang dari situasi kelam kabut di hadapan pintu gol pasukan pelawat.
Derita Kelantan United belum berakhir apabila pelawat sekali lagi merobek gawang mereka melalui rembatan pemain sayap Terengganu FC, Muhammad Hakimi Abdullah pada masa kecederaan.
Keputusan 4-1 itu menyaksikan Kelantan United kekal di tangga ke-12 dan Terengganu FC pada kedudukan keenam carta Liga Super. – KOSMO! ONLINE
The post Liga Super: Terengganu FC mudah tewaskan Kelantan United 4-1 appeared first on Kosmo Digital.