Loud Speaker sasar buka 30 cawangan tahun depan

PETALING JAYA – Loud Speaker menyasarkan untuk membuka 30 cawangan pusat karaoke menjelang akhir tahun depan dengan skim francais yang terancang.

Pengerusi Loud Speaker, Damien Soh berkata, ketika ini pihaknya telah membuka 13 cawangan dengan yang terbaharu di pusat beli-belah Datum Jelatek, Kuala Lumpur.

Jelasnya, selain penerapan beberapa elemen terkini yang terdapat pada dekorasi dalaman, cawangan ke-13 ini juga menyediakan persekitaran karaoke tanpa alkohol sekaligus sesuai untuk dikunjungi oleh pelbagai bangsa.

“Walaupun Loud Speaker sudah pun menjadi jenama terkenal dalam kalangan masyarakat berbangsa Cina, namun matlamat kami seterusnya ialah untuk menarik dan melayani permintaan khalayak yang pelbagai dengan menyediakan persekitaran karaoke bebas alkohol.

“Objektif ini sejajar dengan visi kami di Loud Speaker untuk menyediakan keseronokan untuk semua, tanpa mengira latar belakang atau etnik,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu Soh berkata, cawangan pertama Loud Speaker mula di buka pada 8 Ogos 2009 iaitu di Taman Sutera Utama, Johor Bahru.

Mengulas lanjut, beliau berkata, cawangan baru di Datum Jelatek merupakan salah satu cawangan terbesar dengan keluasan melebihi 14,000 kaki persegi.

“Di sini kami memiliki 47 bilik karaoke yang jauh lebih besar daripada kebanyakkan bilik karaoke dan tidak ketinggalan enam mini studio yang menjadi keunikan di sini.

“Kami juga mempunyai sebuah bilik VVIP terbesar kami yang berkeluasan lebih 1,000 kaki
persegi dengan dilengkapi tandas peribadinya sendiri.

“Reka bentuk bilik VVIP ini, mempunyai pentas dan tempat duduk dalam bentuk konsep ‘lounge’, yang menjadikannya sesuai untuk diubah bagi disesuaikan dengan apa-apa jenis majlis dan acara,”katanya.-KOSMO! ONLINE

The post Loud Speaker sasar buka 30 cawangan tahun depan appeared first on Kosmo Digital.