LANGKAWI – Seorang pencari kupang yang memiliki sejarah penyakit sawan ditemui mati dalam keadaan terapung di perairan dekat Kampung Bukit Malut di sini kira-kira pukul 10.45 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, mayat mangsa, Shaaran Ghazali, 32, ditemui oleh orang awam dalam keadaan tidak berbaju dan berseluar hitam kira-kira 10 meter dari Titi Brohim berdekatan kolam udang Bukit Malut.
“Adik kandung lelaki terbabit yang berada di tempat kejadian mengesahkan identiti mangsa dan pengesahan kematian dibuat oleh kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya di sini hari ini.
Shariman berkata, mangsa dipercayai keluar dari rumahpukul 7 malam semalam untuk mencari kupang dan satu plastik berisi kupang turut ditemui pada badan mangsa.
Kata beliau, pemeriksaan awal tidak menemukan sebarang unsur jenayah dan kali terakhir mangsa mendapatkan rawatan untuk penyakit dialaminya pada tahun 2017 di Hospital Sultanah Maliha. – KOSMO! ONLINE
The post Mayat pencari kupang ditemui terapung dekat Bukit Malut appeared first on Kosmo Digital.