KUALA LUMPUR – Seorang pemuda kesal apabila tertampar pipi seorang remaja Rohingya yang disangka ingin melarikan beg pinggang mengandungi barang berharga miliknya.
Lelaki yang enggan dikenali itu memberitahu, insiden dia menampar remaja berusia dalam lingkungan 15 tahun itu berlaku di Bukit Bintang baru-baru ini.
Menurutnya, remaja perempuan terbabit datang bersama adiknya memaksa dia untuk memegang dan membeli surah Yasin berharga RM20.
“Saya dipaksa memegang Yasin dan bila saya menolak, mereka enggan menerima semula. Remaja itu tidak berpuas hati lalu menunjukkan jari tengah dan mengatakan sesuatu ke arah saya.
“Saya letak Yasin itu di atas meja dan remaja itu cuba untuk merampas beg.
“Saya yang terkejut dengan perbuatan itu secara tidak sengaja tertampar remaja berkenaan dan menyebabkan mereka dua beradik itu bertempiaran lari,” jelas pemuda itu dalam satu hantaran di Twitter.
Dia turut menzahirkan rasa serba salah dalam ciapannya kerana tidak sempat meminta maaf kepada remaja perempuan itu.
Dalam ruangan komen, ternyata ramai juga berkongsi cerita yang lebih kurang sama dan ada yang meluahkan rasa kesal kerana sindiket seperti ini sudah lama.
Malah, semakin berleluasa dan tidak dipandang serius oleh pihak berkuasa. – KOSMO! ONLINE
The post Menyesal tampar gadis Rohingya disangka peragut appeared first on Kosmo Digital.