PETALING JAYA – Kedengaran kecewa dengan situasi bersifat dua darjat melibatkan orang kaya yang sewenang-wenangnya melanggar prosedur operasi standard (SOP), pelakon dan penyanyi Naim Daniel menegur golongan tersebut dengan satu ciapan bersifat sarkastik.
Naim atau nama lengkapnya, Muhammad Naim Daniel Baharin, berkata, tidak mengapa andai mana-mana individu tidak memakai pelitup muka dengan satu alasan yang pahit untuk ditelan realitinya.
“Pengajarannya di sini, tidak mengapa (okey) kalau kalian taknak pakai pelitup muka (mask) di tempat awam.
“Sesungguhnya, memang okey asalkan kalian kaya,” ciapnya menerusi Twitter.
Moral of the story;
IT’S OKAY if you tak nak pakai mask dekat tempat awam.
It is TOTALLY okay.
Asalkan you kaya.
— Naim Daniel (@naimdanielx) October 31, 2021
Ciapan yang dimuat naik pelantun lagu Purnama itu mendapat reaksi pelbagai netizen yang bersetuju dengan pandangan yang dilontarkannya.
Setakat pukul 10 pagi hari ini, ciapan Naim itu mendapat 13,400 tanda suka (likes) dan hampir 7,000 ulang kicau (retweets).
Difahamkan, ciapan berkenaan ditujukan buat seorang wanita warga asing yang membuat onar selepas didakwa enggan memakai pelitup muka di sebuah pusat beli-belah baru-baru ini yang hanya dikenakan kompaun sebanyak RM3,000.
Kompaun berjumlah RM3,000 yang dikenakan terhadap wanita dilabel sebagai ‘Karen’ oleh kebanyakan rakyat Malaysia itu telah dikeluarkan bagi dua kesalahan iaitu setiap satu kesalahan berjumlah RM1,500.
Ramai dalam kalangan netizen melahirkan kekecewaan dan rasa terkilan kerana sebelum ini, rakyat Malaysia dikenakan tindakan kompaun setinggi RM10,000 kerana melanggar SOP.
“Rakyat biasa letak mask dekat dagu kejap pun, kena RM10,000,” ciap seorang netizen memberi respons kepada ciapan Naim seraya menyelitkan tanda pagar #compoundduadarjat dan #asalkaya. – K! ONLINE
The post Naim sarkastik, ‘okey tak pakai mask, asal kaya’ appeared first on Kosmo Digital.