KUALA LUMPUR – Nasib bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony terhadap pertuduhan berkaitan dokumen palsu berhubung kontrak penyelenggaraan sistem Mekanikal dan Elektrikal (M&E) di Universiti Malaysia Sabah (UMS) akan ditentukan esok oleh Mahkamah Sesyen di sini esok.
Keputusan sama ada Peter dibebaskan atau dipanggil membela diri terhadap pertuduhan itu akan ditentukan oleh Hakim Azura Alwi yang sebelum ini telah selesai mendengar hujah daripada kedua-dua belah pihak.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin manakala peguam Munawar Kabir Mohd. Zainal Abidin yang mewakili tertuduh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Malalap.
Jika mahkamah memutuskan beliau membela diri, keterangan pihak pembelaan akan didengar selama lima hari berturut-turut bermula 3 Januari hingga 7 Januari tahun depan.
Sebelum itu, Munawar memaklumkan, pihaknya akan memanggil lapan saksi pembelaan memberi keterangan.
Wan Shaharuddin turut memohon agar pernyataan pembelaan diberikan kepada pihak pendakwaan dalam tempoh seminggu sebelum saksi-saksi memberi keterangan.
Pada perbicaraan lalu, mahkamah diberitahu bahawa kontrak penyelenggaraan sistem Mekanikal dan Elektrikal (M&E) berkenaan tidak diberikan kepada Asli Jati milik Peter sebaliknya diberi kepada REMT Utama Sdn. Bhd. (REMT) melalui tender terbuka.
Bagaimanapun, satu surat lain bertarikh 9 Jun 2014 kemudian dikeluarkan oleh UMS tanpa kebenaran Naib Canselor yang mana tempoh penyelenggaraan telah dilanjutkan sehingga lima tahun.
Wan Shaharuddin ketika itu berhujah, dalam kes ini tertuduh telah mendapat keuntungan secara salah apabila projek itu diberikan kepada syarikatnya, Asli Jati menggunakan kepala surat UMS selepas beliau memohon kepada Menteri Kewangan ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Sambil menyifatkan Peter menggunakan taktik kotor, Wan Shaharuddin mempertikaikan mengapa surat permohonan itu tidak dihantar menggunakan kepala surat Asli Jati sebaliknya menggunakan kepala surat UMS. – K! ONLINE
The post Nasib Peter Anthony ditentukan esok appeared first on Kosmo Digital.