PETALING JAYA – Biar berhadapan kemelut rumah tangga, pelakon Nora Danish masih memperuntukkan masa bersama suaminya, Nedim Nazri.
Perkara itu dikongsikan Nedim atau nama sebenarnya Mohamad Nedim Nazri, 41, yang menyatakan anak mereka, Mohamed Neqayl kurang sihat pada masa mereka bersama.
Berikutan situasi tidak dijangka itu, ahli perniagaan terbabit menangguhkan pemergian ke Perak demi bertemu putera serta isterinya.
“Sepatutnya saya perlu bergerak awal untuk menghadiri mesyuarat di Perak tetapi saya diberitahu anak saya tidak sihat,” katanya dalam perkongsian Instagram.
Menerusi hantaran sama, Nedim turut memuat naik foto bersama insan kesayangannya ketika mereka menjamu selera di sebuah restoran.
Kelihatan putera mereka yang baharu berusia enam tahun itu lebih beraya dan ceria dapat bertemu ayahnya.
Pada masa sama, dia tidak ketinggalan menzahirkan terima kasih terhadap Nora atas perjumpaan tersebut.
“Lihat keadaan dia apabila nampak daddy muncul. Sayang awak Ney, terima kasih Mommy (Nora),” ujarnya.
Menerusi ruangan komen, ramai berharap rumah tangga pasangan terbabit dapat kembali harmoni seperti dulu.
“Semoga Allah kurniakan kebahagiaan suami isteri buat pasangan ini,” tulis netizen.
Sebelum ini pelakon sitkom Puteri itu mendedahkan perkahwinannya dengan Nedim bergolak dan perceraian adalah jalan terakhir.
Mereka juga tidak lagi tinggal sebumbung kerana kebetulan kediaman sedia ada masih dalam proses pengubahsuaian.
Begitupun Nedim menegaskan rumah tangga mereka masih dalam keadaan baik, bahkan memaklumkan situasi yang berlaku hanya ‘gaduh-gaduh manja’.
Nora pula selepas itu dilihat memuat naik petikan dalam Instagram Story mengenai tindakan mendiamkan diri lebih baik daripada terus memperdebatkan sesuatu perkara.
Pasangan terbabit mendirikan rumah tangga pada 30 Mac 2017 dan dikurniakan seorang anak lelaki, Mohamed Neqayl, 6. – KOSMO! ONLINE
The post Nedim, Nora Danish keluar bersama, netizen tumpang gembira appeared first on Kosmo Digital.