Ops Lumpur pantau pemaju perumahan, elak banjir lumpur

SEREMBAN – Semua pemaju perumahan di Negeri Sembilan perlu mematuhi Pelan Kawalan Hakisan Tanah dan Sedimen (ESCP) yang diluluskan bagi mengelak kejadian banjir lumpur dan pencemaran sungai.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S.Veerapan berkata,
kerajaan Negeri Sembilan menerusi jawatankuasa dan pasukan petugas ‘Ops Lumpur’ akan menjalankan pemantauan terhadap setiap kerja-kerja tanah yang sedang dijalankan oleh pihak pemaju.

Veerapan berkata, Ops Lumpur tersebut turut membantu kerajaan negeri dalam usaha mengekalkan kelestarian alam sekitar dan mengawal kualiti air sungai.
.
“Saya bersama pasukan petugas Ops Lumpur termasuk Jabatan Alam Sekitar Negeri Sembilan, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri, Badan Kawal Selia Air (BKSA) negeri dan Jabatan Kerja Raya negeri telah menjalankan pemantauan kerja-kerja tanah yang sedang dijalankan oleh pihak pemaju di tapak projek.

“Pemaju-pemaju yang sedang menjalankan kerja tanah perlu mematuhi sepenuhnya ESCP yang telah diluluskan. Segala komponen-komponen ESCP yang telah dibina oleh pemaju hendaklah diselenggara secara berkala antaranya ‘sediment basin’, ‘temporary earth drain’ dan ‘check dam’ bagi memastikan komponen ESCP tersebut berfungsi dengan baik dan tidak berlaku sebarang kejadian banjir lumpur,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau sebelum itu melawat dan membuat pemeriksaan kawalan hakisan dan kelodak menerusi Ops Lumpur di tapak projek perumahan Iringan Bayu di Mambau di sini.

Mengulas mengenai lawatan tersebut, Veerapan berkata, ia bertujuan memberi mesej dan peringatan kepada semua pemaju di negeri ini supaya mematuhi ESCP yang ditetapkan dalam usaha sama-sama menjaga kelestarian alam sekitar terutamanya sungai. -K! ONLINE

The post Ops Lumpur pantau pemaju perumahan, elak banjir lumpur appeared first on Kosmo Digital.