Padang kawad balai bomba Pasir Mas merekah

PASIR MAS – Padang kawad di dalam Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas di sini dikesan mengalami rekahan tanah pada Jumaat lalu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Zainal Madasin berkata, kesan tersebut mula dilihat pada pukul 11 malam oleh anggota bomba yang sedang bertugas di balai berkenaan.

Menurutnya, JBPM Kelantan telah memaklumkan perkara tersebut kepada Jabatan Pengairan dan Saliran dan Jabatan Kerja Raya untuk tindakan lanjut.

“Rekahan itu ia dikhuatiri akan memberi kesan kepada kawasan-kawasan lain di dalam Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Zainal memberitahu, bagaimanapun, segala tugasan di balai bomba berkenaan masih berjalan seperti biasa.

Difahamkan, rekahan itu dipercayai disebabkan oleh kesan dari gelinciran tanah yang berlaku di Kampung Pohon Celagi di sini pada 17 Februari tahun lalu. – KOSMO! ONLINE

The post Padang kawad balai bomba Pasir Mas merekah appeared first on Kosmo Digital.