Pasangan YouTuber UK bayar saman RM100 tak serik datang Malaysia

PETALING JAYA – “Ia tidak akan menjejaskan cinta kami terhadap Malaysia. Kami akan kembali!”

Itu pengakuan yang dibuat oleh pasangan pempengaruh media sosial dari United Kingdom (UK) yang tular apabila ditawarkan bayaran saman RM100 oleh seorang anggota polis trafik, baru-baru ini.

Menerusi satu hantaran di media sosial, pasangan yang dikenali sebagai Chris dan Marianne itu turut memaklumkan telah memberikan kerjasama kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkaitan insiden tersebut.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada semua atas komen dan mesej (kami tidak dapat jawab kesemuanya tetapi menghargai sokongan anda).

“Kami boleh mengesahkan bahawa kami telah berkomunikasi dengan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik PDRM.

“Kami telah memberikan mereka rakaman video, tarikh, masa dan lokasi kejadian yang tidak diedit.

“Mereka telah memohon maaf dan mengesahkan bahawa mereka sedang menyiasat sepenuhnya kejadian ini dan tiada saman tertunggak,” kata pasangan berkenaan di Facebook Tread The Globe.

Semalam, Kosmo! melaporkan, Mahkamah Majistret Ipoh menolak permohonan sambung reman terhadap tiga anggota trafik yang disyaki terlibat dalam kes menawarkan penyelesaian bayaran saman RM100 kepada pempengaruh media sosial dari UK.

Majistret Siti Nora Sharif menolak permohonan yang dikemukakan polis terhadap tiga anggota berusia antara 37 hingga 42 tahun itu setelah mendengar alasan oleh peguam mewakili kesemua suspek.

Muhammad Al Hirzan Mahamad Akhir dan Aqmarul Aqil Ismail yang mewakili ketiga-tiga suspek memberitahu, antara alasan yang dikemukakan pihaknya ketika prosiding sambung reman itu adalah tiada mangsa yang tampil (untuk siasatan) selain beberapa isu teknikal lain.

Terdahulu, tular satu video di YouTube ‘Thread the globe’ memaparkan pasangan pelancong dari UK dikenali sebagai ‘UK Van Lifers’ disaman anggota polis trafik akibat kesalahan memandu laju.

Difahamkan, pasangan pelancong yang menaiki sebuah van itu ditahan ketika dalam perjalanan ke Ipoh.

Dalam video berkenaan, anggota polis trafik itu memberitahu pasangan tersebut bahawa mereka memandu sekitar 80 kilometer (KM) sejam berbanding had laju yang dibenarkan iaitu 60KM

Susulan itu, pasangan berkenaan bersetuju untuk membayar secara tunai dan menyerahkan wang berjumlah RM100 tanpa diberikan surat saman. – KOSMO! ONLINE

The post Pasangan YouTuber UK bayar saman RM100 tak serik datang Malaysia appeared first on Kosmo Digital.