KUALA LUMPUR – Kerajaan bakal menyegerakan penyediaan segala kemudahan dan kelengkapan yang diperlukan di wad kelas tiga Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi menjamin keselesaan pesakit.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara tersebut telah dibawa ke pengetahuan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly supaya ia boleh dibawa ke Kabinet dalam masa terdekat.
Selain itu, Anwar berkata, kerajaan juga bakal melakukan kajian menyeluruh untuk memastikan tiada lagi kerugian berlaku disebabkan pembaziran ubat-ubatan.
“Seperti yang kita dapat lihat sendiri, wad kelas tiga selalunya panas dan sesak. Menteri Kesihatan (Dr Dzulkefly) bakal bawa perkara ini ke pengetahuan Jemaah Menteri supaya boleh disegerakan apa yang perlu.
“Kita akan lihat sama ada ubat-ubatan digunakan sepenuhnya, tidak ada pembaziran dan sebagainya serta apakah keutamannya. Itu kita perlu beri tumpuan kerana HKL perlukan jumlah yang lebih besar.
“Tetapi kita juga perlu fokus pada klinik di Kapit, Manek Urai misalnya, jadi perkara ini dilihat secara keseluruhan oleh kementerian dan kita buat keputusan,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Dalam pada itu, Anwar turut mengucapkan tahniah kepada HKL yang telah mendapat pengiktirafan dunia atas kecemerlangan prestasi hospital berkenaan. – KOSMO! ONLINE
The post Pastikan wad kelas ketiga lengkap, selesa – Anwar appeared first on Kosmo Digital.