Pegawai kerajaan kartel kontrak kerja ditahan SPRM

GEORGE TOWN – Dua pegawai kerajaan yang bertindak sebagai ‘runner’ ditahan reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas disyaki terlibat kegiatan kartel bagi memonopoli kontrak kerja pembaikan dan penyelenggaran tandarah suar dan sistem pam air rumah api.

Perintah tahanan reman selama empat hari sehingga 27 Februari ini dikeluarkan Majistret Hadi Hakimi Harun di Mahkamah Sivil, di sini hari ini.

Mereka yang ditahan menerusi Ops Ocean itu terdiri daripada Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah berusia 58 tahun dan Pegawai Pelajaran Daerah berumur 47 tahun.

Menurut sumber SPRM, seramai 15 individu terdiri 10 pemilik syarikat dan lima orang tengah telah ditahan bagi merekod keterangan Khamis lalu.

“Seramai 13 daripada mereka diberi jaminan oleh SPRM manakala dua orang tengah akan direman bagi membantu siasatan selepas disyaki terlibat dalam kartel kontrak kerja di Jabatan Laut Wilayah Utara Pulau Pinang (JLWUPP) bagi mendapatkan projek untuk kontraktor-kontraktor sekitar tahun 2022,” katanya.

Jelas sumber lagi, nilai kontrak tersebut berjumlah RM693,940 dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Kedua-dua suspek yang diwakili peguam daripada Tun Ammar Aziz & Co kini ditahan reman di lokap SPRM Pulau Pinang – KOSMO! ONLINE

The post Pegawai kerajaan kartel kontrak kerja ditahan SPRM appeared first on Kosmo Digital.