Pelajar Politeknik Jeli ditemui lemas, tergelincir dalam sungai ketika memancing

JELI – Kegembiraan seramai 26 pelajar Politeknik Jeli yang berkelah di kawasan air terjun Lata Goleng, Kampung Sungai Rual di sini semalam bertukar tragedi apabila salah seorang daripada mereka lemas selepas tergelincir dan terjatuh ke dalam sungai.

Mangsa, Wan Mohammad Syahid Wan Abdul Aziz, 20, dikhuatiri lemas apabila terjatuh ke dalam sungai ketika memancing bersama rakan-rakannya yang lain.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jeli, Mohd. Adni Ibrahim berkata, mangsa dipercayai terjatuh ke dalam kawasan sungai kira-kira pukul 4.43 petang semalam sebelum anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian untuk operasi dan menyelamat.

Menurutnya, bagaimanapun, operasi terpaksa ditangguhkan malam semalam sebelum disambung semula pukul 7 pagi tadi.

“Lima anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Machang dan Pengkalan Chepa turut menyertai operasi itu sebelum menemui mangsa kira-kira pukul 10.40 pagi tadi.

“Mayat mangsa dijumpai di dasar sungai sejauh 7.5 kilometer dari lokasi dia terjatuh ke dalam kawasan air terjun itu,” katanya.

Menurut Mohd. Adni, mangsa dipercayai dibawa arus deras dan paras air sungai turut naik mendadak selepas berlaku hujan lebat malam tadi.

Ujarnya, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jeli, Superintendan Ahmad Arifin ketika dihubungi berkata, beliau mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut. – KOSMO! ONLINE

The post Pelajar Politeknik Jeli ditemui lemas, tergelincir dalam sungai ketika memancing appeared first on Kosmo Digital.