Pelari sukan lasak cabaran gunung maut dipanah petir

ATHENS, GREECE – Seorang peserta acara larian di sebuah kawasan pergunungan di Greece maut dipanah petir, manakala seorang lagi peserta cedera, lapor akhbar Metro UK semalam.

Kejadian pada pagi semalam itu berlaku ketika kumpulan peserta menyertai acara perlumbaan Enam Puncak, yang melibatkan lokasi-lokasi tertinggi di Gunung Falakro, utara Greece.

Mereka berada pada ketinggian kira-kira 1,341 meter  apabila petir menyambar kedua-dua mangsa.

Ketika kejadian, 55 pelari lain dikatakan telah tiba di garisan penamat, manakala berpuluh-puluh lagi peserta masih cuba menamatkan perlumbaan mereka yang berakhir di sebuah resort ski.

Dua pasukan bomba dikejarkan ke gunung tersebut bagi mendapatkan mangsa yang cedera iaitu  seorang lelaki berusia 56 tahun. Seorang peserta  berusia 55 tahun pula meninggal dunia dalam insiden tersebut.

Mangsa yang cedera dibawa ke sebuah hospital di bandar Kavala di mana pihak berkuasa mengesahkan bahawa dia mengalami cedera parah. 

Menurut laporan, cuaca cerah ketika perlumbaan bermula, namun kemudian bertukar kepada hujan lebat.

Acara larian sejauh hampir 37 kilometer tersebut bermula pukul 7 malam (waktu tempatan), Sabtu lalu di kampung Pyrgoi pada ketinggian  629 meter di atas gunung setinggi 2,232 meter tersebut. – Agensi 

The post Pelari sukan lasak cabaran gunung maut dipanah petir appeared first on Kosmo Digital.