SETIU – Program konservasi tuntung laut merupakan antara produk pelancongan komuniti menarik yang ditawarkan di Kampung Mangkuk dan Kampung Baru Penarik, di sini.
Pegawai Biologi, Projek Setiu Wetlands, Program Air Tawar, Tabung Alam Sedunia (WWF)-Malaysia, Muhammad Zaid Nasir berkata, kedua-dua kampung yang diisytiharkan sebagai Kampung Pelancongan tersebut merupakan sebahagian tarikan terhadap Taman Bencah Setiu.
“WWF-Malaysia bertanggungjawab terhadap program konservasi tuntung laut bermula daripada pengumpulan telur hingga pelepasan anak penyu.
“Sebanyak 36 ekor anak tuntung laut berusia antara dua hingga tiga hari dilepaskan di Sungai Mangkuk berhampiran Kampung Baru Penarik di sini hari ini,” ujarnya selepas menyaksikan pelepasan anak tuntung laut berkenaan di Sungai Mangkuk di sini hari ini.
Terdahulu, anak-anak tuntung laut tersebut dilepaskan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Terengganu, Ariffin Deraman.
Jelas Muhammad Zaid, tuntung laut biasanya akan mendarat di Pantai Kuala Baru pada bulan Jun hingga Ogos setiap tahun sebelum telurnya menetas selepas dieram selama 90 hari.
Tambah beliau, tuntung laut merupakan spesis terancam seperti harimau belang yang perlu dipelihara agar tidak kepupusan.
“Tuntung laut betina biasanya akan matang pada usia 15 tahun dan akan kembali ke pantai yang menjadi asal usulnya untuk bertelur,” – K! ONLINE
The post Peluang lihat konservasi tuntung laut di Kampung Mangkuk appeared first on Kosmo Digital.