Penduduk Kampung Sungai Rinting B rayu selesai masalah infrastruktur

JOHOR BAHRU – Penduduk Kampung Sungai Rinting B di Pasir Gudang, di sini, merayu pihak berwajib agar membantu menyelesaikan masalah infrastruktur yang dihadapi mereka sejak sekian lama.

Antara masalah dihadapi termasuklah jalan raya yang rosak, masalah banjir kilat serta capaian internet kurang.

Salah seorang penduduk, Zulkifli Abd. Karim, 39, berkata, laluan utama memasuki kampung berkenaan sepanjang kira-kira 1.5, bukan sahaja tidak rata, tetapi berlubang sehingga membahayakan pengguna.

“Keadaan bertambah teruk setiap kali hujan turun, lubang akan dipenuhi air menyebabkan kerosakan lebih banyak dan bahayakan penunggang motosikal. Keadaan ini berlarutan sejak lebih lima tahun lalu.

“Laluan ini digunakan untuk penduduk hantar anak ke sekolah setiap hari. Bayangkan jika ada kecemasan, lebih-lebih lagi pada waktu malam, keadaan jadi lebih bahaya,” katanya.

Bapa kepada empat cahaya mata itu berkata demikian kepada pemberita pada program Turun Padang Mendengar Keluh Resah Penduduk Kampung Rinting B Bersama Ahli Parlimen Pasir Gudang serta agensi-agensi kerajaan lain, di sini.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Kamal Monir, 64, memberitahu, banjir kilat juga semakin kerap berlaku di kawasan kampung berkenaan, khususnya apabila hujan lebat dan air pasang.

“Biasanya ia berlaku pada musim tengkujuh, iaitu pada akhir tahun. Apabila ia berlaku, beberapa kediaman akan dinaiki air sehingga paras setengah meter,” ujarnya.

Seorang lagi penduduk, Hakila Hussin, 39, pula berharap capaian internet di kampung berkenaan dapat ditingkatkan ke tahap lebih baik bagi memudahkan proses pembelajaran murid dan pelajar.

“Anak-anak saya sendiri terpaksa berkunjung ke sebuah restoran makanan segera selama beberapa jam sekiranya perlu guna internet untuk buat kerja sekolah.

“Walaupun sudah tukar beberapa syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi, namun masalah sama tetap berlaku,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

The post Penduduk Kampung Sungai Rinting B rayu selesai masalah infrastruktur appeared first on Kosmo Digital.