JAKARTA – Seorang lelaki yang diberkas atas jenayah berkaitan dadah melangsungkan perkahwinan dengan teman wanitanya di sebuah ibu pejabat polis di Pulau Bali, lapor portal berita Coconuts semalam.
Ketua Polis Denpasar, Bambang Yugo Pamungkas mengesahkan perkara itu dan memberitahu, perkahwinan mereka berlangsung di lobi Ibu Pejabat Polis Denpasar.
“Pengantin lelaki itu ditahan bagi kes narkotik. Dia juga telah didakwa oleh pendakwa raya Denpasar,” kata Bambang.
Tambah Bambang, pihaknya membenarkan upacara perkahwinan itu berlangsung kerana ia telah dirancang sebelum pengantin lelaki ditahan tahun lalu.
“Kami memberi kebenaran untuk tahanan melangsungkan perkahwinan kerana ia merupakan haknya. Tahanan dan semua warganegara mempunyai hak untuk berkahwin,” katanya.
Selepas upacara tersebut tamat, tahanan telah dibawa semula ke penjara, manakala pengantin perempuan pulang ke rumah keluarganya.
Lelaki tersebut diberkas pada 3 Disember tahun lalu kerana memiliki dadah jenis metamfetamin seberat 163 gram dan 30 biji pil khayal. – AGENSI
The post Pengantin kahwin di lobi ibu pejabat polis appeared first on Kosmo Digital.