Peniaga, kekasih sujud syukur terlepas hukuman gantung kes ganja

KOTA BHARU – Seorang peniaga bersama kekasihnya terus melakukan sujud syukur di dalam kandang tertuduh selepas Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepas dan membebaskan mereka daripada tiga pertuduhan memiliki dan mengedar dadah jenis ganja seberat 1.7 kilogram, tiga tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mohamad Abazafree Mohd. Abbas membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap pertuduhan yang dihadapi oleh Ahmad Uzair Che Darus, 32, dan Azilafatiha Ahmad, 27.

Menurutnya, mahkamah memutuskan bahawa kedua-dua tertuduh dilepas dan dibebaskan terhadap kesemua pertuduhan tanpa perlu dipanggil untuk membela diri.

“Keputusan ini dijalankan selepas menilai tiga perkara termasuk akses penyewa lain terhadap sebuah rumah yang merupakan lokasi dadah tersebut ditemui.

Shaharuddin (kiri) menenangkan Asnah di luar Mahkamah Tinggi Kota Bharu selepas Uzair dibebas dan dilepaskan daripada pertuduhan memiliki dan mengedar dadah jenis ganja tiga tahun lalu.

“Kemungkinan ada individu lain yang mempunyai akses terhadap rumah tersebut menggunakan kunci pendua. Dakwaan wujud individu lain itu kuat apabila sebuah televisyen di dalam rumah tersebut turut hilang semasa sebelum dan selepas pegawai polis merakam gambar di situ,” katanya.

Mengikut pertuduhan, Ahmad Uzair didakwa memiliki dadah berbahaya jenis kanabis seberat 8.5 gram.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azlina Mohd. Arshad dan Uzair diwakili oleh peguam Shaharuddin Mohamed dan Leftenan Kolonel (B) Azhar Ahmad manakala Azilafatiha diwakili peguam Zameri Mat Nawang.

Ibu kepada Uzair, Asnah Omar,68, ketika ditemui pemberita berkata, dia bersyukur apabila anaknya dilepaskan daripada pertuduhan itu selepas meringkuk di Penjara Pengkalan Chepa di sini lebih tiga tahun lalu.

“Saya tahu Uzair berkawan dengan tertuduh wanita (Azilafatiha) beberapa bulan sebelum mereka ditahan. Apa pun, saya bersyukur apabila doa dan solat hajat saya terhadap Uzair akhirnya termakbul apabila dia dibebaskan hari ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post Peniaga, kekasih sujud syukur terlepas hukuman gantung kes ganja appeared first on Kosmo Digital.