Pesawat bawa 19 penumpang terhempas di Nepal

KATHMANDU – Sebuah pesawat penumpang yang membawa 19 orang terhempas ketika berlepas dari ibu negara Nepal, Kathmandu pada pagi ini, manakala anggota-anggota bomba bertungkus-lumus memadamkan kebakaran.

Menurut tentera negara itu dalam satu kenyataan, pesawat Saurya Airlines terhempas sekitar pukul 11.15 pagi (waktu tempatan).

Dalam pada itu, polis berkata, ramai mangsa terkorban tetapi seorang juruterbang berjaya diselamatkan.

“Juruterbang berjaya diselamatkan. Ramai yang tidak selamat,” kata jurucakap polis, Dan Bahadur Karki.

Akhbar Kathmandu Post melaporkan, seramai 19 orang termasuk anak kapal berada di dalam penerbangan itu.

Portal berita Khabarhub pula melaporkan, pesawat itu terbakar selepas tergelincir di landasan dan mengeluarkan kepulan asap yang banyak.

Beberapa laporan media menyebut bahawa 18 mayat telah ditemui setakat ini namun, angka rasmi belum dimaklumkan.

Pesawat berkenaan dalam perjalanan ke Pokhara, sebuah hab pelancongan penting di republik Himalaya itu.

Saurya Airlines secara eksklusif menerbangkan jet Bombardier CRJ 200, demikian menurut maklumat pada laman webnya.

Nahas penerbangan komersial besar yang terakhir Nepal ialah pada Januari 2023 apabila pesawat Yeti Airlines terhempas semasa mendarat di Pokhara, dan mengorbankan kesemua 72 penumpang.- AFP

 

The post Pesawat bawa 19 penumpang terhempas di Nepal appeared first on Kosmo Digital.