PETALING JAYA – “Kalau orang Melayu hendak hapuskan kemelayuan negara ini, sokong sahajalah tafsiran negara ini negara berbilang kaum,” kata Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Mahathir yang juga bekas Perdana Menteri berkata, perkara itu malah boleh dilakukan dengan meminda Perlembagaan Persekutuan.
“Boleh dipinda jika dua pertiga Ahli Parlimen bersetuju. Jika persetujuan dicapai Malaysia boleh ditukar menjadi negara berbilang kaum.
“Maka ianya berasal dari negara Melayu akan hilang,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh berhubung usaha mempromosikan negara berbilang bangsa di Malaysia.
Ramkarpal dipetik berkata, pandangan Mahathir iaitu usaha berkenaan bertentangan Perlembagaan Persekutuan adalah tidak berasas daripada segi undang-undang.
Terdahulu, Mahathir berkata, Perlembagaan Persekutuan tidak mendakwa bahawa Malaysia adalah negara berbilang kaum.
“Dengan bahasa kebangsaan, adat istiadat, dan dengan beraja Melayu, Perlembagaan mengesahkan bahawa negara ini adalah negara Melayu. Dengan menerima warganegara dari bangsa lain tidak menjadikan Malaysia negara berbilang kaum,” katanya
Kata beliau, United Kingdom, Amerika Syarikat dan Australia walaupun ramai bangsa lain jadi warganegara, tetapi negara-negara itu tidak menjadi negara berbilang bangsa.
Ujar beliau, pemberian perlindungan undang-undang kepada warga asing yang diberi kerakyatan adalah perkara biasa, namun tidak menjadikan ia sebagai negara berbilang bangsa.
“Perlembagaan adalah undang-undang pengasas yang perlu dihormati,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Pinda perlembagaan jika mahu hapuskan kemelayuan negara ini’ appeared first on Kosmo Digital.