Pinjaman RM75,000 tak dapat, simpanan RM228,205 yang lesap

BESUT – Hasrat seorang peniaga untuk membuat pinjaman peribadi RM75,000 bukan sahaja tidak kesampaian, malah wang simpanan dia dan suaminya berjumlah RM228,205 selepas diperdaya sindiket penipuan.

Wanita berusia 29 tahun yang menyedari tertipu telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Besut di sini pada kelmarin.

Pemangku Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintendan Md. Sani Md. Saleh berkata, pada mulanya, mangsa tertarik dengan iklan pinjaman peribadi yang dilihatnya di laman Facebook pada 12.30 tengah hari, 15 November lalu.

“Mangsa kemudiannya menekan pautan dipamerkan sebelum dibalas oleh suspek menerusi aplikasi WhatsApp pada pukul 8.50 malam, 16 November lalu.

“Dia yang berminat memohon pinjaman peribadi sebanyak RM75,000 telah diarahkan suspek untuk mengemukakan salinan kad pengenalan, bil elektrik, butiran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), dan penyata bank pada pukul 10.18 pagi, dua hari kemudian,” katanya di sini hari ini.

Md. Sani berkata, peniaga wanita terbabit kemudiannya menyerahkan dokumen berkenaan selain wang yang diminta suspek.

Beliau berkata, kesemua wang berjumlah keseluruhan RM228,205 dimasukkan ke dalam enam akaun bank berasingan menerusi 89 transaksi.

“Mangsa hanya berkomunikasi dengan suspek menerusi aplikasi WhatsApp sebelum menyedari tertipu semalam. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post Pinjaman RM75,000 tak dapat, simpanan RM228,205 yang lesap appeared first on Kosmo Digital.