DUNGUN – Barisan Nasional (BN) telah membuat persiapan awal termasuk mengenalpasti calon bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggeri yang dijadualkan pada 17 Ogos depan.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, gerak kerja tersebut telah dilaksanakan sebaik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon, undi awal dan pengundian PRK DUN Nenggeri pada semalam.
Beliau berkata, Ketua Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki telah mengadakan pertemuan dengan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah bagi membincangkan persiapan PRK berkenaan.
“Perbincangan telah diadakan di peringkat akar umbi dengan kepimpinan (BN Bahagian) Gua Musang.
“Kita akan bergerak bersama-sama bagi menghadapi PRK DUN Nenggeri,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat
Perwakilan UMNO Bahagian Dungun di sini hari ini.
Zambry berkata, perbincangan itu termasuk mengenalpasti bakal calon yang berpotensi untuk ditampilkan pada PRK tersebut.
Beliau berkata, calon yang akan mewakili BN berkenaan akan dimuktamadkan seterusnya diumumkan dalam masa terdekat.
Kosmo! hari ini melaporkan SPR menetapkan hari pengundian PRK DUN Nenggeri pada 17 Ogos depan dengan peruntukan RM1.6 juta. – KOSMO! ONLINE
The post PRK DUN Nenggeri: BN kenalpasti calon appeared first on Kosmo Digital.