PRN Johor : 2 muka baharu di Pulai Sebatang, Kukup

PONTIAN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang yang baharu, Hasrunizah Hassan tidak menyangka akan memperolehi kemenangan besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang diadakan semalam.

Katanya, jangkaan awal adalah sekitar 3,000 undi namun keputusan semalam beliau telah memperolehi kemenangan dengan majoriti undi 6,325 undi mengatasi tiga calon lain yang turut bertanding.

Hasrunizah, 45, yang juga Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Pontian memperolehi 12,473 undi mengatasinya, Suhaizan Kaiat dari Pakatan Harapan (PH) yang mendapat 6,148 undi.

Sementara calon Perikatan Nasional (PN) Abdullah Hussein meraih jumlah undi sebanyak 5,947, manakala calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Abd. Rashid Abd. Hadi hanya memperolehi 329 undi dan hilang wang pertaruhan.

Menurut Hasrunizah, beliau mengucapkan terima kasih kepada semua jentera Barisan Nasional (BN) dan UMNO yang telah bertungkus lumus selama 12 hari membantu kempennya.

“Begitu juga kepada ahli keluarganya yang telah memberikan sokongan dan kerjasama serta mengizinkan saya untuk menjadi calon pada PRN Johor tahun ini,” katanya ketika ditemui di luar bangunan Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Pontian, di sini, malam tadi.

Kemenangan Hasrunizah telah membolehkan BN merampas kembali kerusi DUN Pulai Sebatang yang sebelum ini telah dimenangi oleh calon PH, Muhammad Taqiuddin Cheman pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14).

Tambah Hasrunizah, beliau akan berusaha menunaikan janji ikhtiar Pulai Sebatang seperti meningkatkan lagi kemudahan infrastruktur seperti jalan-jalan kampung mahupun dalam bidang ekonomi, pendidikan dan sosial.

“ Sepertimana kempen yang telah lakukan, saya akan memastikan permintaan dan harapan pengundi di DUN Pulai Sebatang dapat dipenuhi,” ujar beliau.

Sementara itu, bagi Datuk Jefridin Atan yang memenangi kerusi DUN Kukup mengucapkan terima kasih kepada pengundi kerana kembali memberikan sokongan yang kuat kepada BN pada kali ini.’

Katanya, begitu juga kepada pengundi 18 tahun dan mereka yang pertama kali mengundi juga telah memberikan sokongan kepada BN menunjukkan mereka yakin kepada komitment BN selama ini.

“Ikhtiar Johor adalah terbaik serta menyakinkan rakyat Johor yang mengutamakan kesejahteraan rakyat dalam tempoh lima tahun ini,” ujarnya dalam hantaran WhatsApp disini, malam tadi.

Pada PRN Johor, Jefridin memperolehi sebanyak 11,592 undi mengatasi calon Perikatan Nasional (PN) Mohammad Mahathir Ibrahim (3,429), calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mohd. Zaiful Bakri (3,279) dan calon Pejuang, Zamzam Hashim hanya memperolehi 911 undi.

Kemenangan besar BN dengan majoriti undi 8,163 pada PRN Johor menebus kekecewaan BN pada PRU-14 apabila memenanginya dengan majoriti tipis 862 undi oleh calon terdahulu, Datuk Md. Othman Yusof.- KOSMO! ONLINE

The post PRN Johor : 2 muka baharu di Pulai Sebatang, Kukup appeared first on Kosmo Digital.