Projek Hidroelektrik Nenggiri: Orang Asli dapat pampasan RM10 juta

GUA MUSANG – Tenaga Nasional Berhad (TNB) sudah membayar pampasan sebanyak RM10 juta secara berperingkat kepada masyarakat Orang Asli Pos Tohoi dan Pos Pulat yang terlibat dalam pembinaan Projek Hidroelektrik Nenggiri.

Pengarah Urusan TNB Power Generation Sdn. Bhd, Ir. Muhamad Nazri Pazil berkata, seramai 245 keluarga dibayar pampasan mengikut keluasan tanah dan bilangan tanaman yang terpaksa ditebang atau berlaku kerosakan.

“Kami juga menyediakan penempatan baharu, dusun dan ladang getah termasuk infrastruktur yang diperlukan seperti sekolah, surau, bekalan elektrik selain bekalan air. Kita jangka penempatan itu akan diduduki pada pertengahan 2026,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penghargaan dan Kerjasama Strategik Bersama Orang Asli Pos Tohoi dan Pos Pulat di Pos Tohoi, di sini hari ini.

Muhamad Nazri berkata, dua pembayaran pampasan telah pun dilakukan pada 9 dan 14 Ogos lalu dan keluarga Orang Asli terlibat juga akan menerima elaun sara hidup selama lima tahun sehingga kebun getah mereka mengeluarkan hasil serta elaun perpindahan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Pos Pulat, Liman Ahong berkata, beliau berpuas hati dengan kemajuan pembinaan penempatan baharu yang tidak jauh dari kampung asal dan penduduk boleh mengekalkan pekerjaan tradisi mencari hasil hutan. – KOSMO! ONLINE

 

The post Projek Hidroelektrik Nenggiri: Orang Asli dapat pampasan RM10 juta appeared first on Kosmo Digital.