PARIS – Rakyat Perancis keluar mengundi dalam pilihan raya legislatif hari ini yang akan menentukan masa depan politik negara berkenaan dan berkemungkinan besar menyaksikan parti berhaluan kanan, Perhimpunan Nasional (RN) menjadi parti terbesar di Parlimen buat kali pertama.
Presiden Emmanuel Macron mengadakan pilihan raya mengejut itu tiga tahun lebih awal.
Selepas menang dalam pusingan pertama pilihan raya berkenaan 30 Jun lalu, calon Presiden Perancis, Marine Le Pen yakin RN akan dapat memenangi majoriti dua pertiga di Parlimen dan melantik anak didiknya, Jordan Bardella, 28, sebagai Perdana Menteri Perancis.
Bagaimanapun, minggu lalu menyaksikan percaturan baharu parti-parti berhaluan tengah termasuk parti pemerintah dan parti berhaluan kiri dalam membentuk pakatan untuk mengekang kemenangan RN pada pusingan kedua pilihan raya umum yang berlangsung hari ini.
Tinjauan pendapat terkini meramalkan RN tidak akan berupaya memperoleh 289 kerusi yang diperlukan bagi mencapai majoriti dua pertiga di Dewan Nasional (Dewan Rakyat). Dewan berkenaan mempunyai 577 kerusi kesemuanya.
Dalam pada itu, lebih 50 calon dan aktivis berdepan serangan fizikal semasa berkempen selama empat minggu sekali gus tempoh berkempen paling singkat dalam sejarah Perancis.
Kira-kira 30,000 anggota polis termasuk 5,000 di Paris telah dikerahkan untuk mengawal ketenteraman semasa pilihan raya berlangsung. – AFP
The post Rakyat Perancis mengundi dalam pilihan raya ‘seismik’ appeared first on Kosmo Digital.