Keputusan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memansuhkan permit import (AP) bagi bahan makanan seakan mengimbau perjuangan Perdana Menteri memecahkan monopoli orang tengah ketika menerajui Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sekitar 2014.
Walaupun pemansuhan AP itu hanya melibatkan beberapa komoditi agromakanan seperti kubis bulat, kelapa tua, ayam dan susu cair, ia masih menjadi titik permulaan untuk diperluaskan kepada bahan lain.
Orang tengah ibarat lintah darat. Ia menghisap darah petani, peniaga dan nelayan yang memerah keringat demi mencari rezeki dengan mudah kerana mereka mempunyai duit.
Pemegang AP yang sekian lama menuai untung dengan membolot bisnes mengimport pelbagai jenis makanan ke negara ini sudah tentu terkejut dengan keputusan drastik kerajaan untuk mengimbangi stok makanan negara.
Namun, ada yang berpendapat pemegang AP yang menjadi orang lama dalam industri kemungkinan tidak tergugat dengan pemansuhan itu kerana sudah mempunyai rangkaian kuat dengan pelbagai sumber luar negara.
Keputusan kerajaan itu membolehkan sesiapa saja kini boleh mengimport makanan dan menjadi kartel asalkan mempunyai duit yang banyak untuk memainkan harga.
Corak perniagaan berbentuk kartel inilah yang didakwa dimainkan oleh segelintir pemilik restoran Mamak di negara ini dengan cara menabur duit kepada peniaga lain untuk memulakan bisnes kedai makan.
Pada asasnya ia kelihatan bagus kerana mewujudkan lebih ramai usahawan tetapi syarat yang dikenakan akhirnya menekan peniaga baharu itu.
Ada peniaga mendakwa walaupun semua belanja dari membeli barang basah dan kering, sewa lot kedai sehinggalah kepada gaji pekerja dilunaskan oleh si pemberi dana, mereka masih datang untuk mengambil wang tunai atas pelbagai alasan.
“Sudahlah dia tidak benarkan mak cik buat roti canai kononnya takut roti canainya tak laku sebab kedai kami berdekatan, konco-konconya boleh pula datang ambil duit.
“Lepas kena jerkah dia tak berani lagi datang. Kena mak cik yang garang dia takut tapi kalau yang diam dan reda, habislah,” kata seorang peniaga.
Lagak ala samseng inilah yang sentiasa membelenggu peniaga baharu. Jika tidak tahan dengan sepak terajang dunia bisnes makanan, boleh saja angkat kaki dan tutup restoran.
Sebenarnya, ada beberapa hal lain lagi yang turut membelenggu peniaga baharu jika dia berbisnes menggunakan modal tauke restoran Mamak.
Apapun, persaingan yang sihat untuk berniaga di dalam negara tercinta ini sudah lama subur kerana dasar kerajaan yang mengamalkan dasar ekonomi terbuka.
Cuma dari segi penguatkuasaan ke atas perkara seperti yang dibincangkan di atas perlu diperkemaskan lagi bagi mengekang penguasaan kartel kedai makan menindas peniaga baharu.
The post Ramai jadi mangsa kartel Mamak appeared first on Kosmo Digital.