Rasa macam nak kiamat

JOHOR BAHRU – “Terasa dunia macam nak kiamat”. Itulah kata-kata boleh digambarkan ketakutan dialami Junaidah Jamil, 49, bersama ibu dan anak perempuannya ketika rumah mereka di Kampung Datuk Sulaiman Menteri, di sini dilanda ribut pada minggu lalu.

Junaidah memberitahu, ketika kejadian, dia bersama ibu, Norliah Abu Bakar, 69, dan anak, Puteri Nur Ain Norzan, 19, sedang berbual di dalam bilik tidur.

Tidak semena-mena, katanya, mereka terdengar bunyi dentuman yang kuat dari bahagian ruang tamu lalu memberanikan diri untuk melihat apa yang terjadi.

“Apabila sampai sahaja ke ruang tamu, saya dapati atap bumbung sudah tidak ada, saya boleh nampak langit kehitaman selain deruan angin yang kuat menggegarkan rumah.

“Tidak lama selepas itu, hujan turun dengan sangat lebat, kami tiga beranak berasa sangat panik cepat-cepat keluar dari rumah kerana khuatir kerosakan lain yang akan berlaku,” katanya kepada pemberita di sini.

Buat sementara waktu, Junaidah bersama ibu dan anaknya akan menetap di inap desa berhampiran buat sementara waktu setelah ibunya masih lagi trauma dengan kejadian yang menakutkan itu.

Junaidah yang bekerja sebagai peniaga itu hanya sempat menyelamatkan barangan berharga sahaja kerana mahu memastikan keselamatan ibu serta anak perempuannya itu.

Katanya, kejadian ribut itu menyebabkan banyak barangan elektrik serta perabot rosak dengan anggaran kerugian yang ditanggung adalah kira-kira sejumlah RM12,000 secara keseluruhan.

Sementara itu, kejadian yang berlaku itu membawa berita duka buat seorang lagi anak perempuannya, Puteri Nur Aishah, 21, yang bakal melangsungkan perkahwinan di rumah itu tidak lama lagi.

Menurut bakal pengantin itu, ada sebahagian daripada pakaian dan aksesori busana pengantin yang akan dipakainya pada hari bahagianya rosak dalam kejadian tersebut.

Walaupun keadaan rumah pusaka itu yang masih belum dibaik pulih, Puteri Nur Aishah tidak berhasrat untuk menangguhkan perkahwinan dan majlis itu akan tetap berlangsung pada 23 Disember ini.

“Majlis perkahwinan akan diteruskan mengikut jadual, ini kerana semua benda sudah diaturkan seperti tempahan katering, khemah malah undangan jemputan juga sudah dibuat.

“Bakal suami yang merupakan seorang askar juga susah untuk mendapatkan cuti, jadi lebih baik majlis itu diteruskan juga,” kata operator kilang itu. – KOSMO! ONLINE

The post Rasa macam nak kiamat appeared first on Kosmo Digital.