Sanusi nafi miliki banglo di Sik, cubaan fitnah menjelang PRN

ALOR SETAR – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menyelar tindakan pihak tertentu menyebarkan fitnah di media sosial kononnya sebuah banglo di Sik, dekat sini adalah miliknya.
Kata beliau, banglo tersebut adalah kepunyaan abangnya yang dibina dengan hasil titik peluh sendiri.
“Gambar sebuah banglo di Sik lengkap dengan imej Google Map yang cuba digambarkan ada kaitan dengan saya sehingga timbul tanggapan kononnya banglo itu milik saya sedang ditularkan  pemfitnah dan pendengki di serata media sosial.
“Ia tidak benar dan semata-mata fitnah. Pemfitnah-pemfitnah ini bekerja keras menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) untuk mempengaruhi orang ramai untuk percaya saya kini hidup kaya-raya sehingga mampu membina rumah seperti itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, banglo tersebut dibina hasil kerja keras abangnya selama puluhan tahun dan langsung tidak menggunakan wang daripadanya walau satu sen.
“Selama ini, dia (abang) kumpul wang dengan bekerja sebagai penyelam di dasar laut, terpaksa tinggalkan isteri dan anak-anak sehingga tiga atau empat bulan sekali baru boleh balik ke rumah.
“Bukan sekali dua tetapi banyak kali termasuk ketika isterinya bertarung nyawa melahirkan anak, si suami pula sedang bertarung dengan yu dan jerung di dasar laut,” ujarnya.
Menurutnya lagi, abangnya sekeluarga telah banyak berkorban selama ini dan amat menyedihkan apabila ada orang yang dengki sehingga tergamak menjaja fitnah kononnya rumah itu bukan milik mereka.
“Apa salah mereka kepada kalian? Kumpul duit setelah berpuluh tahun kerja termasuk mempertaruhkan nyawa dalam keadaan begitu bahaya untuk memberikan sedikit kegembiraan kepada ahli keluarga, adakah salah?
“Pemilik rumah itu bukan orang politik. Dia tidak ada kena mengena dengan politik atau pilihan raya, mengapa jadikan dia mangsa seolah-olah rumah itu dibina dengan duit haram sedangkan dia telah lama bekerja keras mencari rezeki hasil titik peluhnya sendiri,” jelasnya.
Katanya, rata-rata penduduk Sik tahu bahawa banglo berkenaan adalah rumah abang beliau.
“Adakah salah juga dia ada pertalian darah dengan saya, dilahirkan sebagai abang saya?
“Adakah kerana dia abang saya, dia tidak boleh bina rumah besar walaupun dia ada duit dan mampu untuk bina rumah seperti itu? Mudah sungguh kalian buat persepsi sedangkan persepsi bukan realiti,” katanya.
Tambahnya, abangnya menguruskan hidup dengan disiplin dan kualiti yang tinggi, jauh meninggalkan macai-macai politik yang hati mereka sentiasa diselubungi dendam, marah dan benci.
“Mereka dengan mudah menyebar fitnah untuk mendapat sedikit habuan atau memuaskan dendam kesumat yang lama terpendam. Mereka seperti lalat penghurung tahi yang kotor lagi jijik.
“Bersiap sedialah kalian semua untuk menjawab di dunia dan akhirat atas dosa yang telah disebarkan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post Sanusi nafi miliki banglo di Sik, cubaan fitnah menjelang PRN appeared first on Kosmo Digital.