LUMUT – Seorang nelayan warga Indonesia dilaporkan hilang manakala empat lagi terapung di laut selama 10 jam selepas bot mereka dilanggar sebuah kapal kargo di perairan Selat Melaka, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi kira-kira 90.6 batu nautika dari barat daya Pulau Pinang itu, bot mereka dilanggar oleh sebuah kapal kargo yang disyaki bernama MOL ketika cuaca hujan lebat dan angin kencang.
Menurut Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob, mereka berjaya diselamatkan oleh kapal kargo CMA CGM RIVOLI kira-kira pukul 7 malam hari yang sama.
“Empat nelayan berasal dari Medan, Sumatera, Indonesia itu, ditemui dalam keadaan terapung berpaut pada serpihan kayu dan tong ikan,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, tiga mangsa iaitu Muhamad Solihin, 53; Dady Shahputra, 39; dan Asri, 44, berada dalam keadaan sihat dan selamat.
Sementara, seorang lagi mangsa, Jampur, 53, mengalami kecederaan pada tangan, rusuk dan kaki kanan akibat terkena serpihan kaca.
Terangnya, hasil maklumat daripada keempat-empat mangsa, seorang lagi kru bot yang dikenali sebagai Abdul Malek, 56, dipercayai masih hilang.
Menurut beliau, kesemua mereka telah diserahkan oleh kru kapal kargo CMA CGM RIVOLI kepada Maritim Perak, kira-kira pukul 7.05 pagi semalam.
Jelasnya, selepas menerima maklumat daripada MRSC Langkawi, Pusat Operasi Maritim Perak menghantar Kapal Maritim (KM) Malawali diketuai Leftenan Komander Maritim Arizan Hakimi Mohd Zin ke lokasi perairan pada jarak 4.1 batu nautika dari barat pulau Jarak dekat sini. – KOSMO! ONLINE
The post Seorang hilang, empat hanyut selepas bot nelayan dilanggar kapal kargo appeared first on Kosmo Digital.