KLANG -Kegembiraan dua nelayan bersaudara keluar menangkap ikan berakhir dengan tragedi apabila seorang daripadanya dilaporkan hilang selepas bot mereka terbalik dipukul ombak di di kedudukan 1.8 batu nautika barat Pantai Acheh, Pulau Indah di sini, semalam.
Kejadian dikatakan berlaku kira-kira pukul 1 tengah hari susulan cuaca buruk dengan mangsa yang hilang adalah Mohd. Fazil Paijan berusia 36 tahun.
Manakala, sepupunya iaitu Arnizam Ibrahim, 43, terpaksa berpaut pada bot selama dua jam sebelum diselamatkan bot lain kira-kira pukul 3 petang.
Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, siasatan awal mendapati dua nelayan terbabit keluar ke laut menggunakan bot gentian kaca pada pukul 8 pagi.
Bagaimanapun, katanya, mereka didapati tidak memakai jaket keselamatan semasa turun menangkap ikan tersebut.
“Salah seorang mangsa sempat berpaut pada bot yang terbalik itu kira-kira dua jam sebelum diselamatkan bot milik pelabuhan berhampiran.
“Bot pelabuhan bertugas dalam urusan membawa masuk dan keluar kapal besar ke demarga pelabuhan berhampiran,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Jelas beliau, pihaknya yang menerima laporan kehilangan mangsa segera mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) pada pukul 5 petang semalam.
Ujarnya, operasi kemudiannya terpaksa ditangguhkan kira-kira pukul 7.30 malam ekoran cuaca buruk serta keadaan gelap yang menyukarkan pencarian.
“Maritim Selangor telah membuka Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) di Jeti Marina Pulau Indah bagi menyelaraskan usaha operasi di sektor pencarian.
“Operasi diteruskan hari ini sewal pukul 7 pagi dengan lima aset dari pelbagai agensi seperti Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan sebuah pesawat PDRM AW 139 (PGU) meliputi radius sektor pencarian 102 batu nautika persegi,” katanya. -KOSMO!ONLINE
The post Seorang selamat, sepupu hilang bot terbalik di Pantai Acheh appeared first on Kosmo Digital.