Tahu cepat ‘koyak’, Nelissa Nizam jaga perangai

SELEPAS hampir 10 tahun berkecimpung dalam dunia seni, Nelissa Nizam tidak sangka penglibatan dalam bidang itu akhirnya mendapat perhatian dalam penjurian Anugerah Telenovela, baru-baru ini.

Membuatkan hati pemilik nama lengkap Nelissa Edreena Nizam itu lebih berbunga, anugerah yang diraih dalam kategori Artis Bintang Harapan Telenovela, diputuskan juri profesional dan bukan atas undian peminat.

Ternyata, anugerah pertama yang dijulang wanita berusia 26 tahun itu memberi makna buat dirinya sebagai pelakon, lantas menjadi pembakar semangat untuk terus melakukan yang terbaik.

“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur menjadi pilihan juri untuk memenangi kategori Artis Bintang Harapan Telenovela.

“Saya sebenarnya sangat terkejut dengan anugerah ini sebab tidak diberitahu penganjur. Anugerah ini sekali gus menjadi pengiktirafan pertama sejak menceburi bidang seni hampir 10 tahun lalu.

“Sudah tentu, kejayaan ini juga menjadi pembakar semangat untuk saya melakukan yang terbaik pada masa akan datang,” ujar anak jati kelahiran Kuala Lumpur itu.

Meskipun memakan waktu yang agak panjang untuk bakatnya dihargai, Nelissa tidak pernah berkecil hati. Dia percaya kehidupan umpama sebuah keajaiban.

Pelakon bertubuh genit itu bahkan tiada masalah jika lambat meniti puncak kemasyhuran atau kurang dikenali. Dia sebaliknya lebih mementingkan kualiti berbanding populariti.

MEMAHAMI diri sendiri yang cepat terkesan dan tidak kuat berdepan kata-kata buruk orang, Nelissa seboleh-boleh menjaga diri agar tidak terjebak perilaku tidak baik sehingga mencetus sensasi.

“Selepas hampir 10 tahun, barulah orang nampak bakat saya dalam bidang lakonan. Tapi saya tidak berkecil hati kerana menganggap hidup ini umpama satu keajaiban.

“Tak mengapa lambat dikenali kerana saya mementingkan kualiti berbanding populariti. Walaupun lambat, namun perkara itu tidak mematahkan semangat saya untuk terus lakukan yang terbaik,” katanya penuh semangat.

Ditanya antara punca yang memungkinkan namanya kurang dikenali dalam industri, Nelissa berkata salah satunya kerana dia tidak pernah menimbulkan sebarang kontroversi.

Sejak menceburi bidang lakonan, Nelissa seboleh-bolehnya mahu mengelak daripada terpalit cerita tidak enak.

“Saya kurang dikenali mungkin kerana tidak pernah menimbulkan kontroversi dan mengelak daripada terpalit cerita tidak enak.

“Saya pun bukan baru lagi dalam industri dan sudah cukup matang untuk berfikir baik dan buruk. Saya cuma mahu keluar dengan naskhah yang lebih berkualiti,” katanya.

Tambah Nelissa, dia bukanlah seorang wanita yang kuat untuk berdepan dengan kecaman dan akan cepat terkesan jika dilontarkan dengan kritikan terhadapnya.

“Saya bukan jenis pelakon yang boleh menerima kecaman. Saya akan cepat terkesan. Sebab itu saya mengelak daripada membaca komen dalam media sosial, sebab jiwa saya tidak kuat.

“Kecaman membuatkan saya rasa takut dan akhirnya akan memberi kesan pada diri sendiri. Saya rasa orang lain pun begitu juga.

“Namun, apabila ambil keputusan untuk terjun dalam industri hiburan, mahu tidak mahu saya sebenarnya kena kuat untuk berhadapan dengan situasi seperti ini,” jelasnya.

Pelakon yang lahir pada tanggal 4 Januari 1998 itu juga seboleh-bolehnya menolak untuk melakukan adegan panas .

Sedar, mahu cari makan dalam industri Melayu yang penuh dengan adat dan budaya, Nelissa perlu menjaga perkara tersebut agar tidak menyentuh sensitiviti umum.

The post Tahu cepat ‘koyak’, Nelissa Nizam jaga perangai appeared first on Kosmo Digital.