Takut beranak hospital kerajaan? Cuba tengok Nowhere!

KALAU ada satu perihal yang ingin disarankan buat peminat filem bernuansa thriller, penulis tidak akan teragak-agak untuk memberi rekomendasi buat kalian meletakkan tanda koma sedikit masa harian menonton naskhah terbaharu Netflix berjudul Nowhere.
Datang dari negara Sepanyol dengan lakonan mantap Anna Castillo sebagai Mia, Nowhere memberi tunjuk ajar buat pembikin filem bertemakan survival thriller bagaimana melahirkan karya sedemikian sekiranya ingin berada pada posisi antara filem kegemaran dunia sekarang.
Pujian harus diberikan kepada pelakon utamanya Anna yang memainkan peranan sebagai Mia dengan cukup cemerlang. Kalau kena dengan keadaan dan tuah, tidak mustahil aktres itu tercalon untuk acara-acara besar. Mengapa? Kerana persembahannya dalam Nowhere sangat Oscar-worthy!
Terperangkat dalam kontena disebabkan perbuatan regim zalim, Mia terpaksa melahirkan anak bersendirian di tengah-tengah lautan menggunakan segala kudrat yang ada. – NETFLIX.
Tercungap-cungap
Setakat ulasan ini dinukilkan atau didokumentasikan dalam bentuk aksara dan hebahan pendapat, Nowhere menjadi antara pilihan global dengan berada di kedudukan nombor satu.
Biarpun dipisahkan dengan perbezaan bahasa, Nowhere membuktikan itu bukan menjadi satu masalah buat penduduk dunia menikmati filem yang sangat menderas adrenalin dan membuatkan audiens tidak senang duduk dengan rencam emosi, lontaran dialog dan babak ‘ngeri’  dipaparkan.
Babak makan uri bayi sendiri demi meneruskan riwayat di tengah-tengah lautan, lapah ikan mentah dengan isi perut sekali adalah antara yang sangat meninggalkan dampak di minda penulis bahkan sehingga artikel ini dicernakan. Memang gila, tapi barangkali itulah kita manusia kalau memang sudah tiada pilihan lain demi survival.
Mungkin kurang bersesuaian dengan kumpulan audiens yang usianya lebih kecil namun satu fakta yang tidak boleh dinafikan, Nowhere membuatkan paras oksigen ketika menghabiskan tontonan berombak-ombak.
Apa organ yang sepatutnya tercungap-cungap atau terkemut-kemut, selayaknya serta semestinya, itu energi yang terhasil sepanjang ‘pengembaraan’ selama 1 jam 49 minit filem terbabit.
Buat penulis secara peribadi, Nowhere adalah satu percubaan cemerlang daripada rumah produksi
Rock & Ruz. Seperti apa dijanjikan menerusi ‘kekacauan’ poster, seperti itulah apa yang terhasil daripada keseluruhan filem.
Nowhere membuatkan audiens sentiasa bersyukur dengan keberuntungan lahir di negara aman damai seperti Malaysia. Itu barangkali satu nilai yang terbit usai menghabiskan tontonan.
Naratif atau plot cerita membuatkan jiwa sesiapa yang merasakan hidup mereka paling diselitkan kesulitan, janganlah berasa kalian berada pada kesulitan yang paling bawah.
Nowhere ditunjangi lakonan mantap aktres Sepanyol Anna Castillo sebagai Mia dengan persembahan sangat luar biasa dari segi lakonan dan emosi.
Ada manusia yang negara mereka bergolak terpaksa bergadai nyawa sendiri dan juga orang-orang tersayang demi mendapatkan sekelumit rasa keamanan.
‘Cubit’ realiti
Sedikit peringatan, bimbingan orang tua atau ibu bapa adalah sangat perlu sebelum memulakan tontonan karya turut dibintangi aktor bernama Tamar Novas  yang memainkan peranan sebagai Nico. Ada adegan yang kurang sesuai orang tontonan orang Timur khususnya kita yang tinggal di Malaysia.
Kendatipun sekali lagi, filem seperti ini umpamanya ‘mencubit’ realiti dalam pada orang wanita atau sebilangan pihak mengeluh bersalin di hospital kerajaan, ada insan seperti Mia yang terpaksa melahirkan bayi berseorangan jauh daripada keramaian orang di tengah-tengah lautan.
Hanya bertemankan sebuah kontena dan perkakas-perkakas lain yang tiada kepentingan kalau diikutkan pemikiran waras namun Mia melawan segala kebobrokan dengan skill survival luar sifat manusiawi biasa.
Itu sedikit sebanyak tentang Nowhere yang membuatkan audiens hilang punca atau rasa untuk bernafas. Deras adrenalin yang tercetus disebabkan karya arahan Albert Pintó memang menggila luar biasanya.
Sungguhpun begitu, tidak semua filem itu memberikan rasa kepuasan 100 peratus buat penonton. Nowhere juga tidak terkecuali. Ada yang merasakan klimaks yang dihasilkan kurang memberi dampak. Ada yang berfikiran sebaliknya.
Apa yang pasti Nowhere akan membuatkan tidur malam kurang lena dan ketika tontonan berlaku, banyak rasa empati yang tercerna berhubung betapa beruntungnya kita berpihak di negeri berdaulat dan bertuah.
Filem: Nowhere
Pengarah: Albert Pintó
Pelakon: Anna Castillo, Tamar Novas 
Sumber: Netflix
Bahasa: Sepanyol
Bintang: 4/5 

The post Takut beranak hospital kerajaan? Cuba tengok Nowhere! appeared first on Kosmo Digital.