Terkejut dapat panggilan mayat anak ditemui terapung di Sungai Kelantan

KOTA BHARU – Seorang ibu tidak menyangka anaknya menemui ajal dalam keadaan tragis apabila mayatnya dijumpai terapung di tebing Sungai Kelantan dekat Kampung Surau Kota di sini semalam.

Norizan Setapa, 56, berkata, anaknya, Wan Muhammad Zulfakri Wan Mohd. Zulki, 31, baru pulang ke rumah pada Jumaat minggu lalu selepas tinggal bersama abang sulungnya di Johor Bahru.

Menurutnya, arwah sebelum ini tinggal di Johor selama dua bulan untuk mencari pekerjaan di sana selepas berhenti kerja di Kota Bharu.

“Saya dan keluarga pergi ke Johor baru-baru ini untuk menjenguknya sambil menziarah anak sulung dan cucu. Saya mengajaknya untuk pulang ke kampung bersama-sama dan dia pada awalnya enggan sebelum mengubah keputusan.

“Arwah baru sahaja beberapa hari pulang ke rumah sebelum kami sekeluarga menerima panggilan telefon memaklumkan mayat Wan Muhammad Zulfakri dijumpai di tebing Sungai Kelantan dekat Kampung Surau Kota,” katanya ketika ditemui Kosmo! di rumahnya di Kampung Pendek di sini hari ini.

Norizan memberitahu, dia diarahkan oleh polis supaya hadir ke Balai Polis Nilam Puri di sini untuk membuat pengesahan kad pengenalan mangsa sebelum pergi ke Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini untuk menuntut jenazah anaknya.

Menurutnya, jenazah mangsa berada dalam keadaan baik dan hasil bedah siasat mengesahkan anaknya meninggal dunia akibat mati lemas.

“Sebelum Wan Muhammad Zulfakri dijumpai lemas, dia keluar dari rumah pada pagi. Dia tidak memaklumkan kepada saya untuk keluar rumah ketika itu.

“Saya syak dia keluar bersama rakan-rakan dengan menaiki motosikal kerana keretanya ditinggalkan di rumah. Mungkin mangsa jatuh ke dalam sungai semasa sedang melihat penduduk memancing di kawasan berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun mengesahkan pihaknya ada menerima laporan berhubung penemuan mayat itu semalam.

Kosmo Online! semalam melaporkan seorang pemancing terkejut apabila melihat mayat seorang lelaki dalam keadaan terapung semasa sedang memancing udang di tebing Sungai Kelantan di Kampung Surau Kota di sini.

Samsudin Omar, 64, berkata, dia bersama beberapa rakannya yang memancing udang di kawasan itu kira-kira pukul 8.30 pagi menyangka objek yang kelihatan seperti seperti sampah itu merupakan mayat seorang lelaki. – KOSMO! ONLINE

The post Terkejut dapat panggilan mayat anak ditemui terapung di Sungai Kelantan appeared first on Kosmo Digital.