KUALA TERENGGANU – Pengurusan Terengganu FC (TFC) akhirnya bersetuju menawarkan lanjutan kontrak kepada ketua jurulatih, Mohd. Nafuzi Zain untuk membimbing pasukan itu musim depan.
Keputusan itu dicapai pada Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah TFC selama lebih dua jam dipengerusikan Pengerusi Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah.
Wan Sukairi yang juga salah seorang Ahli Lembaga Pengarah berkata, pengurusan tertinggi TFC sangat berpuas hati dengan pencapaian skuad Sang Penyu di bawah kendalian Mohd. Nafuzi pada musim ini.
Beliau berkata, pengendali meningkat naik itu berjaya mencapai sasaran iaitu layak ke Piala AFC 2023 serta melangkah ke final Piala FA walaupun tumpas kepada Johor Darul Ta’zim (JDT).
“Tawaran berkenaan akan diserahkan secepat mungkin dan sekarang terpulang kepada beliau (Nafuzi) sama ada mahu menerima tawaran (lanjutan kontrak) atau sebaliknya.
“Beliau perlu memberi jawapan dalam masa 14 hari setelah menerima surat tawaran tersebut,” katanya di sini hari ini.

Wan Sukairi menjelaskan tawaran sama turut diberi kepada ketua jurulatih TFC II, III dan IV serta pengarah teknikal.
Tambah beliau, TFC juga bersetuju menyerahkan penentuan pemilihan pemain musim depan kepada Mohd. Nafuzi.
“Diharap perkembangan ini memberi motivasi dan semangat kepada pasukan TFC untuk mengharungi Piala Malaysia di mana kami optimis Mohd. Nafuzi mampu meneruskan kecemerlangan. – KOSMO! ONLINE
The post TFC akhirnya tawar kontrak lanjutan kepada Nafuzi appeared first on Kosmo Digital.