Tiada jenayah kecurian banjir gelombang pertama, kedua di Segamat

SEGAMAT – Tiada kejadian pecah rumah, kecurian kenderaan atau kehilangan ternakan dilaporkan sepanjang musim banjir gelombang pertama dan kedua bermula 27 Disember 2023 sehingga semalam di sekitar Segamat.

Menurut Ketua Polis Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah, tiada laporan polis diterima daripada mangsa banjir yang berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dalam tempoh berkenaan.

“Anggota-anggota polis sudah diarah melakukan pemantauan dari semasa ke semasa di kawasan dikenal pasti sebagai rumah mangsa banjir dinaiki air.

“Ini termasuk pemantauan di darat dan sungai oleh anggota bermotosikal (URB), kereta peronda (MPV) dan menaiki bot.

“Sepanjang musim banjir kali ini, tiada kes lemas dilaporkan membabitkan penunggang motosikal atau kenderaan lain ketika melalui kawasan yang ditenggelami air di sekitar Segamat.

“Pihak polis memberi jaminan kepada penduduk kampung dan taman perumahan bahawa kediaman mereka selamat dan meminta berpindah segera sekiranya kediaman dinaiki air,” katanya ketika ditemui di Kampung Seberang Batu Badak di sini, hari ini.

Tambah Ahmad Zamry, penduduk juga diingatkan lebih berjaga-jaga dengan gelombang banjir ketiga dan tidak perlu bimbang untuk meninggalkan kediaman masing-masing.

“Pihak polis menyarankan mangsa banjir bersiap siaga setiap kali hujan melanda tanpa henti lebih dari dua hari dan cakna akan laporan ramalan cuaca oleh pihak Jabatan Meteorologi Malaysia (MET)

“Seeloknya mangsa yang tinggal di lokasi berisiko banjir peka dengan amaran awal pihak berkuasa sebelum gelombang ketiga banjir berlaku,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post Tiada jenayah kecurian banjir gelombang pertama, kedua di Segamat appeared first on Kosmo Digital.