Tiada negatif tajuk khutbah zakat itu – Abdul Aziz

SHAH ALAM – Topik setiap minggu khutbah Jumaat di Selangor dibincangkan oleh jawatankuasa khas dengan huraian yang diutarakan adalah bertepatan dengan isu semasa.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, setiap khutbah tersebut adalah bertujuan memberikan peringatan dan penerangan kepada umat Islam khususnya termasuk mengenai khutbah zakat pada minggu lalu.

“Beberapa bulan sebelum ini, ada keluar berita yang agak negatif berkenaan kutipan zakat seperti penyelewengan.

“Walaupun tidak begitu besar berlaku di Selangor namun kita tidak mahu umat Islam di negeri ini yang membayar zakat akan timbul rasa kurang yakin (terhadap Lembaga Zakat Selangor (LZS).

“Itu sebab kita ingatkan semula betapa pentingnya membayar zakat. Hukumnya wajib. Saya sendiri memaklumkan (kepada LZS) tidak mahu berlaku walaupun satu sen sumbangan zakat itu tidak diisytiharkan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas pelancaran Kempen Bulan Kesedaran Tunai Fidyah Majlis Agama Islam Selangor di sini, hari ini.

Sebelum ini, tular seorang pelakon, Wan Raja terhadap khutbah bertajuk Terima Kasih Pembayar Zakat minggu lalu yang tidak mendatangkan feel kepada jemaah.

Malah dakwa pelakon tersebut, huraian pasal pembentangan kutipan zakat sepatutnya dibuat di Parlimen.

Mengulas lanjut, Abdul Aziz berkata, tiada yang negatif berhubung khutbah berkenaan sebaliknya menyedarkan kepada umat Islam bagi pembayaran zakat.

“Tidak salah kita memberikan ingatan orang Islam di dalam masjid atau surau Jumaat, Jadi, dengan cara itu, kita yang terlupa misalnya boleh ingat semula dan kalau rasa ragu-ragu akan yakin semula. Kita hanya mengingatkan sesama sebagai umat Islam,” katanya.

Dalam perkembangan berlainan, beliau berkata, setakat ini dianggarkan 1,500 penerima zakat telah berjaya menukarkan taraf mereka sebagai pembayar zakat.

“Bilangan itu sentiasa ada sepanjang tahun dan LZS memang berusaha bersungguh-sungguh agar asnaf tidak terus berada dalam kategori,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

The post Tiada negatif tajuk khutbah zakat itu – Abdul Aziz appeared first on Kosmo Digital.