Tiket kelas ekonomi KL-Tawau sudah habis, hanya kelas perniagaan yang tinggal

PUTRAJAYA – Semua tiket kelas ekonomi bagi penerbangan Kuala Lumpur – Tawau sudah habis terjual dan yang tinggal hanya tiket kelas perniagaan.

Itu jelas Menteri Pengangkutan, Anthony Loke susulan dakwaan kononnya tiket penerbangan Kuala Lumpur ke Tawau pada 20 April ini mencecah RM3,138 dibangkitkan bekas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong.

Loke berkata, beliau telah menghubungi Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines (MAB), Kapten Izham Ismail berhubung isu berkenaan.

Menurutnya, Izham mengesahkan semua tiket kelas ekonomi untuk penerbangan KL-Tawau pada hari tersebut telah habis dijual dan tiket yang tinggal hanyalah kelas perniagaan.

“Beliau (Izham) juga mengesahkan harga tiket tersebut bukan untuk kelas ekonomi tetapi ialah kelas perniagaan dan harga tiket tersebut ialah RM2,863.40 dan bukannya RM3,138 seperti didakwa.

“Ini fakta yang perlu diperbetulkan. Sebagai bekas Menteri Pengangkutan, Ka Sionng mesti faham perbezaan antara tiket Kelas Perniagaan dan Kelas Ekonomi,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Katanya, beliau mengucapkan terima kasih kepada Ka Siong di atas keprihatinan terhadap isu tiket penerbangan yang tinggi dan pandangan mengenai tambahan kapasiti.

Loke berkata, beliau akan mengadakan sidang media khas pada tengah hari esok untuk memberikan fakta tambahan kapasiti penerbangan untuk musim Hari Raya tahun ini.

Selain Ka Siong, Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin turut berkongsi rasa kecewa apabila melihat lonjakan harga tiket penerbangan domestik ke Sabah yang disifatkan tidak logik.

Bung dalam hantaran di Facebook berkata, harga bagi tiket sehala ke negeri itu mencecah RM3,000 yang menyebabkan rakyat negeri itu tidak dapat pulang ke kampung halaman untuk meraikan hari raya. – KOSMO! ONLINE

The post Tiket kelas ekonomi KL-Tawau sudah habis, hanya kelas perniagaan yang tinggal appeared first on Kosmo Digital.