UKM lakar sejarah wujudkan Kampus Rendah Karbon 2030

BANGI – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melakar sejarah apabila menjadi satu-satunya institusi pendidikan yang melaksanakan program kelestarian alam sekitar melalui Program Kampus Rendah Karbon 2030.

Kampus Rendah Karbon 2030 yang dilancarkan hari ini dijalankan berdasarkan empat fokus utama iaitu GreenHouse@UKM, program kitar semula, taman lestari, dan penggunaan tenaga solar di dalam kampus.

Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (Nres), Datuk Dr. Ching Thoo Kim berkata, usaha UKM dalam menggunakan teknologi hijau di sekitar kampusnya selari dengan perancangan kerajaan dalam mencapai 200 zon rendah karbon seluruh negara.

Katanya, pelaksanaan Program Kampus Rendah Karbon 2030 bergerak seiring dengan agenda pembangunan mampan bagi melestarikan alam sekitar dalam mendepani cabaran perubahan iklim di peringkat kampus.

“Kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk mencapai peratusan pelepasan gas rumah kaca sifar bersih (net-zero GHG emissions) menjelang tahun 2050 yang diusahakan melalui rangka kerja bandar rendah karbon atau lebih dikenali sebagai Low Carbon Cities Framework (LCCF).

“Di dalam program LCCF ini, pihak berkuasa tempatan, agensi dan pemegang taruh yang berjaya mengurangkan kadar pelepasan karbon di kawasan masing-masing akan menerima Pengiktirafan Low Carbon Cities 2030 Challenge (LCC2030C).

“Pelancaran Kampus Rendah Karbon 2030 oleh UKM memperlihatkan kesungguhan kerajaan untuk melestarikan alam sekitar melalui Program LCC2030C itu,” ujarnya.

Beliau berucap dalam Majlis Pelancaran Kampus Rendah Karbon 2030 yang bertempat di Persada Canselori, Bangunan Canselori UKM Bangi, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ching Thoo berkata, selain memberi kesedaran kepada warganya terhadap kepentingan melestarikan alam, usaha mereka tampaknya tidak terhenti di situ apabila turut melibatkan komuniti setempat.

“Sebagai peneraju dalam pendidikan dan penyelidikan kelestarian, usaha UKM tidak hanya terhad di kampus semata-mata, tetapi turut melibatkan komuniti luar melalui pelbagai projek dan inisiatif yang mendukung Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) yang ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Penggunaan tenaga lebih cekap, penerokaan tenaga boleh baharu, pengurusan sisa pepejal yang cekap dan penanaman pokok serta mempromosikan pengangkutan hijau dan bangunan lestari, menjadi teraju utama yang diharapkan boleh diteruskan sehingga masa akan datang,”katanya.- KOSMO! ONLINE

The post UKM lakar sejarah wujudkan Kampus Rendah Karbon 2030 appeared first on Kosmo Digital.