UNL: Carsley miliki pilihan terhad

LONDON – Pengurus England, Lee Carsley berdepan cabaran besar selepas tiga pemain utama, Kobbie Mainoo, Ezri Konsa dan Morgan Gibbs-White terpaksa disisihkan daripada skuad menjelang aksi Liga Negara-Negara UEFA menentang Greece dan Finland.

Dalam kenyataan rasmi FA, ketiga-tiga pemain mengalami kecederaan semasa beraksi untuk kelab masing-masing hujung minggu lalu dan tidak akan terlibat dalam dua perlawanan antarabangsa kali ini.

“Trio pemain terbabit dengan masalah kecederaan ketika beraksi dengan kelab masing-masing pada hujung minggu lalu menyebabkan mereka terpaksa diketepikan untuk dua aksi kali ini. Setakat ini kami memanggil 22 pemain dan tidak ada perancangan untuk menambah jumlah tersebut,” menurut FA England dalam satu kenyataan.

Dalam perkembangan sama, Carsley juga terpaksa bergantung kepada barisan pemain pertahanan yang agak terhad apabila hanya tiga pemain pertahanan tengah John Stones, Levi Colwill dan Marc Guehi bersedia, selain Kyle Walker dijangka turut mengisi posisi itu.

Bagaimanapun, di sebalik berita buruk tersebut, kapten pasukan, Harry Kane telah diberikan lampu hijau untuk terus beraksi selepas mengalami kecederaan paha kanan dan terpaksa dikeluarkan pada minit ke-72 dalam perlawanan seri 3-3 menentang Eintracht Frankfurt.

Meskipun kecederaan tersebut menimbulkan kebimbangan, pemeriksaan lanjut oleh doktor Persatuan Bola Sepak England (FA) mengesahkan bahawa Kane masih cergas untuk perlawanan Khamis menentang Greece. – AGENSI

The post UNL: Carsley miliki pilihan terhad appeared first on Kosmo Digital.