[VIDEO] Ibu ‘mengamuk’ anak halang bagi duit pada scammer

PETALING JAYA – Seorang wanita bertindak seperti hilang kawalan gara-gara dihalang keluar rumah oleh anaknya untuk ke sebuah pasar raya.

Menerusi perkongsian video di TikTok anak wanita terbabit, yaisyahaha, dapat dilihat ibunya bertindak melontarkan semua barangan rumah sebagai tanda protes kerana tidak dibenarkan keluar rumah.

Bagaimanapun, difahamkan tindakan itu terpaksa dilakukan bagi menghalang wanita berkenaan daripada pergi ke bank di pasar raya berkenaan untuk memasukkan duit ke dalam akaun scammer.

“Hari ini umi mengamuk sebab tak dapat pergi Mydin, semua benda dia terbalikkan campak-campak barang.

“Dia kata saya kurung dia, walhal risau dia jalan sendirian. Inilah hasil umi mengamuk hari ini, seolah-olah dipukau minda sampai tak boleh fikir mana betul mana salah,” tulis kapsyen pada video berkenaan.

Tambah yaisha, dia akhirnya terpaksa akur menghantar ibunya ke pasar raya berkenaan selepas wanita berkenaan mengugut mahu mencederakan diri menggunakan gunting.

“Bukan tak nak bawa, tapi sebab umi nak pergi Maybank dan masukkan duit dekat scammer. Sekarang ini banyak dah hutang umi buat dengan orang tak kenal sebab nak bagi scammer.

“Kami anak-anak umi tak kaya, cari duit untuk senangkan umi. Tapi, umi senangkan scammer,” katanya.

Tinjauan di ruang komen mendapati rata-rata pengguna melahirkan rasa simpati selain mendoakan agar gadis tersebut terus kuat berdepan dengan keadaan itu.

“Ada scammer main pukau melalui telefon saja. Ahli keluarga aku ada dah terkena sampai sanggup pergi jual emas kemudian duit tu kasi ke scammer,” kata Jeje.

“Hanya yang berdepan dengan masalah ini sahaja yang faham. Tak sangka ada juga yang mengalami masalah yang sama. Semoga terus istiqamah menjaga ibumu,” kata Werty.

“Ini jenis masuk saham scammer la ni. Dijanjikan dapat untung berjuta, tapi dua tiga bulan sekali dia minta masukkan modal kalau tidak nama tersingkir. Itu yang mengamuk kalau tak dapat top up,” kata Sal. – KOSMO! ONLINE

The post [VIDEO] Ibu ‘mengamuk’ anak halang bagi duit pada scammer appeared first on Kosmo Digital.