Video ritual jadikan motosikal kebal, kalis pencuri tular di media sosial

JAKARTA – Sebuah klip video memaparkan upacara untuk menjadikan sebuah motosikal ‘kebal’ dan tidak boleh dicuri menjadi tular di media sosial Indonesia, lapor laman berita Suara semalam.

Kejadian yang berlaku di Kabupaten Ponorogo, Jawa Timur itu dimuat naik dalam akaun  Instagram @pkucity.

Menerusi video tersebut, seorang lelaki berpakaian serba kuning dilihat bersama sebuah  motosikal jenama Honda Beat dan dia seolah-olah sedang menyalurkan ‘auranya’ pada kenderaan itu.

Seorang pengacara majlis memberitahu bahawa lelaki berbaju kuning itu sedang memberikan ‘perlindungan’ kepada motosikal tersebut dan ia kini tidak boleh disentuh orang lain kecuali pemiliknya.

“Jika sudah dijaga, motosikal ini tidak boleh dicuri pencuri atau disentuh orang yang tidak bertanggungjawab,” kata pengacara majlis itu.

Selepas melakukan ritual pada motosikal itu, sebilangan lelaki lain cuba mendekati motosikal tersebut.

Lelaki-lelaki itu seperti tercampak ketika hendak menyentuh motosikal berwarna hitam kuning itu.

Bagaimanapun, pengguna media sosial tidak mudah terpedaya dengan aksi berkenaan dan menganggap ia sekadar lakonan semata-mata.

“Semua ini pasti sudah diatur supaya senang memperdayakan penonton. Jangan mudah percaya,” komen seorang pengguna. – Agensi

The post Video ritual jadikan motosikal kebal, kalis pencuri tular di media sosial appeared first on Kosmo Digital.