PETALING JAYA – “Saya berada dalam mod delusi sama ada saya perlu pilih dia atau lelaki yang kedua. Dua-dua ajak kahwin”.
Demikian antara luahan seorang wanita yang tidak dikenali menerusi catatan di ruang mesej perkongsian tanpa nama (anonymous messages).
Akui wanita itu, kehadiran ‘orang ketiga’ menjadi punca dia tekad membatalkan perkahwinannya dengan bakal suami pada saat akhir meskipun segala persiapan sudah dilakukan.
“Saya rasa bersalah, saya sepatutnya bersama dengan bakal suami tapi saya tak datang majlis perkahwinan tersebut.
“Saya malu dengan perangan saya sendiri. Orang lain pasti akan benci saya. Tetapi perasaan saya juga penting,” katanya.
Wanita itu turut mendedahkan, disebabkan tindakannya majlis perkahwinan indah yang sudah dirancang sejak sekian lama terpaksa digantikan dengan majlis doa selamat memandangkan hampir kesemua persiapan telah lengkap.
“Saya sangat rasa bersalah. Dia berhabis RM20,000 untuk majlis perkahwinan itu akhirnya jadi doa selamat sahaja. Saya minta maaf,” luahnya.
Bagaimanapun, wanita tersebut tidak mendedahkan maklumat secara terperinci berkaitan perkahwinan yang tidak menjadi itu termasuklah gerangan bakal suaminya.
Terdahulu, kecoh dia media sosial kisah seorang lelaki yang dikenali sebagai Adam terpaksa ‘bersanding’ seorang diri disebabkan bakal pengantin perempuan tidak muncul pada majlis penting itu.
Suasana di dalam dewan itu juga digantikan kepada majlis doa selamat bagi meraikan tetamu yang hadir.
Menerusi pendedahan yang dibuat Adam dalam satu sesi siaran langsung kelmarin, dia mengatakan punca pernikahannya dibatalkan adalah kerana ‘orang ketiga’. – KOSMO! ONLINE
The post Wanita nekad batal perkahwinan gara-gara ‘orang ketiga’ appeared first on Kosmo Digital.